Isu babitkan Osman Sapian masih disiasat - Hamzah Zainuddin
Madiha Abdullah
September 8, 2020 07:05 MYT
September 8, 2020 07:05 MYT
Satu siasatan sedang dijalankan berhubung isu bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang baru-baru ini hadir ke acara yang dianjurkan parti Pejuang.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata masih terdapat beberapa perkara yang perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil terhadap Osman.
"Memang kita ada terima aduan, tetapi sama juga seperti sebelum ini, kita kena dapatkan kepastian. Apabila sudah ada kepastian, kita akan ambil tindakan ikut perlembagaan.
"Buat masa ini kita masih siasat," katanya ketika ditemui selepas sambutan ulang tahun ke-4 Bersatu di ibu negara, pada Selasa.
Tambah Hamzah, pemecatan ahli dari parti hanya boleh dibuat selepas mendapat bukti yang kukuh dan mencukupi.
"Semua yang kita pecat sebelum ini, tidak dipecat begitu sahaja sebaliknya kita perhatikan dan kumpulkan maklumat serta bukti.
"Semua maklumat itu kita rekodkan dan apabila semua sudah terbukti, barulah tindakan diambil," katanya.
Minggu lalu, tular sebuah video yang memaparkan kehadiran Osman, yang merupakan ADUN Kempas, dalam kempen calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi pilihanraya kecil DUN Slim.
#Amir Khusyairi Mohamad Tanusi
#Bersatu
#Hamzah Zainuddin
#Johor
#Menteri Besar
#Osman Sapian
#Parti Pejuang Tanah Air
#Pejuang