Isu Ahmad Zahid jadi PM hanya perang psikologi
Datuk Johari Abdul
Julai 4, 2021 20:48 MYT
Julai 4, 2021 20:48 MYT
ISU Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadi Perdana Menteri selepas mengetuai jajaran baharu hanyalah satu bentuk perang psikologi.
Adalah mustahil Presiden UMNO itu mampu memegang jawatan tertinggi dalam pemerintahan negara kerana tidak cukup majoriti berbanding blok terbesar Pakatan Harapan (PH) yang dalam Parlimen.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap akan menjadi Perdana Menteri dalam pembentukan jajaran baharu PH bersama UMNO kelak. Sekali pun Anwar mahu memberikan jawatan itu kepada UMNO, ia belum tentu dipersetujui rakan parti dalam gabungan PH terutama DAP dan PKR.
Ahmad Zahid sendiri jika bersama PH pastinya hanya akan membawa 38 kerusi UMNO sedangkan PH ada hampir 90 dan Anwar pula jelas merupakan Pengerusi PH.
Ahmad Zahid juga tidak mungkin akan menjadi perdana menteri kerana mengikut undang-undang ,Yang di-Pertuan Agong akan melantik seseorang yang ada majoriti dalam Parlimen (untuk jawatan berkenaan).
Dalam situasi semasa, faktor Ahmad Zahid akan menarik diri dari Perikatan Nasional (PN) adalah berlandaskan perkiraan parti itu yang djangka mengecil dan hilang kedudukan dalam arena politik negara sekiranya terus berada dalam PN.
Sudah terang dan nyata, di dalam PN sendiri terdapat tiga parti Melayu dan masing-masing akan berebut kawasan majoriti Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sekiranya ketiga-tiga parti itu duduk berbincang untuk berbahagi kawasan Melayu yang hanya ada lebih kurang 90 kerusi, bermakna setiap parti hanya akan memperoleh 30 kerusi sahaja.
Ia juga bergantung sepenuhnya kepada keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi kepada UMNO 30 kerusi, namun, jika UMNO hanya mendapat sekitar 12 atau 13 kerusi, sudah tentu parti itu dengan sendirinya akan mati.
Jadi, jika UMNO bersama Anwar dalam PH yang tidak ada parti Melayu, sudah tentu kawasan Melayu akan diberi kepada UMNO semua, manakala parti lain dalam PH akan bertanding dalam kawasan campuran.
* Penulis merupakan Ketua Whip PKR dan Pengerusi PKR Kedah.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.