Isu 3R: Siasatan kes Hadi, Guan Eng, Sanusi 70 peratus siap

Sinar Harian
Julai 16, 2023 16:10 MYT
Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan tersebut sudah 70 peratus siap selepas semua keterangan melibatkan tiga tokoh politik itu telah diambil. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan berkait isu 3R (agama, kaum dan raja) terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan diserahkan kepada Peguam Negara minggu hadapan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan tersebut sudah 70 peratus siap selepas semua keterangan melibatkan tiga tokoh politik itu telah diambil.
"Pihak kami telah memanggil kesemua yang terlibat untuk merakamkan keterangan pada 3, 12 dan 14 Julai.
"Setakat ini siasatan berkaitan 3R hanya melibatkan tiga kes ini sahaja yang sangat menarik, selebihnya adalah dua, tiga kes kecil," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu beliau hadir pada Taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Hadir sama ialah, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Jumaat melaporkan PDRM mengesahkan telah merekod keterangan Guan Eng dan Abdul Hadi berkaitan isu 3R.
Razarudin berkata, proses merekod keterangan dua ahli politik itu dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. - Sinar Harian
#Lim Guan Eng #Muhamad Sanusi Md Nor #Abdul Hadi Awang #status siasatan
;