Isu 3R, diesel tidak wajar dimanipulasi pada PRK DUN Mahkota
Bernama
September 12, 2024 05:00 MYT
September 12, 2024 05:00 MYT
KOTA BHARU: Isu sensitif berkaitan kaum, agama dan raja (3R) serta harga diesel tidak wajar dijadikan modal kempen oleh pembangkang sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil berkata pembangkang seharusnya bersikap lebih konstruktif dan progresif dengan mengetengahkan isu yang memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya mengungkit perkara yang boleh menimbulkan ketegangan atau sudah tidak relevan.
"Jangan guna rakyat untuk kepentingan politik atas nama 3R, ia tidak memberikan faedah kepada mana-mana pihak. Jadi perkara itu perlu dihindari.
"Malah, isu harga diesel juga sudah tidak relevan untuk dibangkitkan kerana kerajaan sudah menyediakan insentif tunai menerusi penyelarasan bahan api itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan B40 dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Bot Nelayan di LKIM Kuala Besar, di sini semalam.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di Kluang, Johor.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) manakala bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61, pula calon Perikatan Nasional (PN).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.
-- BERNAMA