Istilah Premier di Sarawak: Perubahan besar atau hanya 'kosmetik'? - Jeniri
Hasimi Muhamad
Februari 16, 2022 16:50 MYT
Februari 16, 2022 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Sarawak masih lagi berteka-teki apakah akan ada impak yang besar susulan pertukaran istilah daripada Ketua Menteri kepada "Premier" seperti yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.
Ini kerana pada pandangan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, pertukaran gelaran untuk pemimpin nombor satu negeri itu tidak boleh hanya dianggap sebagai 'perubahan kosmetik' atau nama semata-mata.
Sebaliknya, tegas Jeniri ia perlu memberi gambaran lebih jelas termasuk tuntutan Sarawak ke atas hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Sebenarnya tidak banyak implikasi lain khususnya dalam konteks hubungan undang-undang dan Perlembagaan, atau dalam konteks bagaimana Kerajaan Negeri Sarawak berhubung dengan Kerajaan Persekutuan.
"... Yang paling penting dituntut oleh rakyat Sarawak ialah apa selepas ini. Adakah hanya sekadar perubahan dari segi nama atau ada sesuatu yang lebih besar (bakal berlaku)?
"Jadi yang didambakan atau dikehendaki oleh rakyat Sarawak ialah bagaimana untuk Kerajaan Negeri Sarawak bergerak ke hadapan dalam usahanya untuk menuntut apa-apa hak di bawah MA63 khususnya dari segi geran-geran untuk pembangunan.
"Kalau tidak, rakyat akan fikir ini hanyalah perubahan kosmetik atau dari segi nama semata-mata," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata tindakan kerajaan negeri membuat perubahan istilah itu susulan Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan status Sabah dan Sarawak sama dengan wilayah lain di Malaysia.
Perspektif berkenaan, ujarnya akan memastikan taraf Ketua Menteri Sarawak adalah berada pada tahap yang tinggi.
"Ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu.
"Kita perlu akui bahawa ada negara di dunia ini khususnya Negara Komanwel seperti Australia, Kanada, negeri-negeri di dalam negara itu, Saint Kitts & Nevis serta negara di Afrika Selatan juga menggunakan istilah itu," jelas Jeniri lagi.
Ditanya apakah perubahan istilah Ketua Menteri akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain, beliau berkata keputusan di Sabah misalnya akan mengambil kira kepada implikasi politik dan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Jeniri menambah pewartawaan istilah "Premier" perlu dilakukan sebelum ia digunakan secara rasmi sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.
Pun begitu, ujarnya penggunaan istilah tersebut dalam Bahasa Malaysia perlu diperincikan bagi mengelakkan kekeliruan.
"Istilah itu perlu diwartakan kerana ini akan memberi kesan-kesan lain seperti nama, jabatan atau bagaimana Ketua Menteri sekarang diberi gelaran dalam majlis-majlis rasmi, bukan sahaja peringkat Sarawak tetapi juga Persekutuan.
"Tetapi kita juga nak tahu apakah istilah yang sesuai dan relevan dalam Bahasa Melayu. Adakah Menteri Utama, Menteri Perdana atau Menteri Premier? Itu memerlukan keputusan yang sesuai dengan semangat jawatan itu, gelaran dan Bahasa Kebangsaan," tambahnya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 15 Februari meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang melibatkan Perkara 6 (3) bagi menggantikan perkataan Ketua Menteri kepada Premier.
Ia diluluskan selepas 67 ahli DUN mengundi menyokong RUU itu manakala enam menentangnya selepas pusingan kedua pengundian secara angkat tangan di hadapan Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.