Istiadat angkat sumpah kabinet baharu Sabah?

Sinar Harian
Januari 11, 2023 09:50 MYT
Beberapa kenderaan dilihat masuk ke pintu gerbang Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Satu istiadat mengangkat sumpah kabinet baharu Sabah dijangka diadakan di Istana Seri Kinabalu pada pagi ini.
Tinjauan Sinar Harian di pintu utama istana mendapati anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula membuat kawalan keselamatan seawal jam 6.30 pagi.
Turut kelihatan beberapa kenderaan mewah dipercayai membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mula memasuki perkarangan istana seawal jam 8.30 pagi.
Sebelum itu, pada malam Selasa tular satu surat berhubung upacara berkenaan yang dikatakan akan berlangsung pada jam 10 pagi Rabu di Dewan Istiadat, Istana Seri Kinabalu.
Dipercayai istiadat mengangkat sumpah itu dilaksanakan selepas pertemuan beberapa ketua parti politik termasuk Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Isnin.
Anwar mencadangkan agar pemimpin tempatan menubuhkan kerajaan Perpaduan Sabah bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri baru-baru ini.
Hajiji sebelum ini mendakwa mendapat 44 sokongan Akuan Bersumpah (SD) daripada ADUN Sabah. - Sinar Harian
#angkat sumpah #Kabinet Sabah #Istana Seri Kinabalu
;