Istiadat angkat sumpah: Jemaah Menteri beredar pulang dari Istana Negara

Ridauddin Daud
Disember 3, 2022 18:07 MYT
Dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri Kabinet hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Usai mengangkat sumpah jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah, beberapa menteri dilihat mula meninggalkan Istana Negara melalui Pintu Dua bermula jam 5.40 petang tadi.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia melibatkan 27 menteri itu berlangsung selama lebih sejam.
Istiadat tersebut turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Antara yang dilihat meninggalkan Istana Negara ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
DIARI 100 HARI KABINET KERAJAAN PERPADUAN PM ANWAR IBRAHIM
Selain itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Yang Dipertuan Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim turut dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 5.45 petang tadi.
Beberapa kenderaan menteri lain pula menyusul, antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sempat melambai kepada media yang berada di luar istana.
Selain itu, Menteri Pendidikan, Dr Fadhlina Sidek juga dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 5.50 petang disusuli beberapa menteri lain dan juga Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli pada jam 6.00 petang.
Pergerakan pulang semua menteri difahamkan selesai pada jam 6.05 petang.
Kerajaan Perpaduan | Dua TPM, 25 Menteri selesai angkat sumpah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof pula meninggalkan Istana Negara melalui Pintu Satu kira-kira jam 5.55 petang tadi.
Astro AWANI sebelum itu melaporkan dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri Kabinet hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini.
Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis itu.
Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
#Kabinet Perpaduan #PRU15 #Istiadat Angkat Sumpah #Anwar Ibrahim
;