Ismail Sabri sedia pikul tanggungjawab Pengerusi UMNO Selangor
Bernama
Julai 14, 2018 21:54 MYT
Julai 14, 2018 21:54 MYT
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kesediaan dan komitmennya untuk memikul tanggungjawab dalam memperkukuh parti, sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.
Ismail Sabri berkata dengan semangat kesatuan yang kuat antara barisan kepimpinan dan akar umbi, beliau yakin UMNO akan terus diperkasakan di negeri ini.
"Pelantikan ini merupakan satu amanah, tanggungjawab yang berat serta mencabar bagi saya...insyaallah saya akan pikul tanggungjawab ini.
"...dan saya yakin dengan kerjasama rakan-rakan kepimpinan UMNO Selangor, parti ini mampu diperkasakan kembali," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, barisan kepimpinan UMNO Selangor menyambut baik pelantikan Ismail Sabri sekaligus berharap satu pembaharuan yang besar dapat dilakukannya.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan berkata pihaknya tidak mempunyai masalah dengan pelantikan berkenaan dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Saya dan pemimpin UMNO Selangor yang lain bersedia bekerjasama dengan pengerusi yang baharu.
"Lagi pun dia merupakan Naib Presiden UMNO yang dipilih oleh anggota UMNO seluruh negara, semestinya dia layak memimpin Selangor," katanya.
-- BERNAMA