Ismail Sabri sangsi negeri pembangkang terima peruntukan RMK12
Sinar Harian
September 16, 2023 15:13 MYT
September 16, 2023 15:13 MYT
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob 'sangsi' keupayaan menoktahkan 114,000 keluarga miskin tegar pada hujung tahun, termasuk status 50 peratus siling peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada empat negeri pembangkang dan Borneo.
Beliau berkata, dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 pada Isnin di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyentuh secara mendalam berkait hal itu kepada Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, selain Sabah serta Sarawak.
Katanya, bagi menghapuskan miskin tegar juga membabitkan pembangunan seimbang antara wilayah untuk memastikan pembahagian ekonomi dapat dinikmati semua pihak.
“Ia bagi memastikan jurang antara wilayah dapat dikurangkan dan meningkatkan tahap sosioekonomi dengan pembangunan infrastruktur namun, tidak disentuh secara mendalam ketika pembentangan KSP. Apakah peruntukan sebanyak 50 peratus akan diteruskan untuk negeri-negeri ini?
“Benar, Selangor dan Pulau Pinang penyumbang terbesar kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi negeri-negeri ini telah mendapat keistimewaan dan dibangunkan dengan pelbagai infrastruktur sejak zaman penjajah lagi,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Ahli Parlimen Bera itu juga memberitahu, perubahan minda atau cara fikir menjadi cabaran terbesar dalam usaha menghapuskan kemiskinan.
“Tanpa anjakan minda amat sukar untuk berjaya. Sebab itu, usaha untuk menghapuskan kemiskinan tegar yang dilaksanakan sebelum ini tidak membuahkan hasil,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat harga barang sepatutnya turun kesan inflasi mereda.
“Namun, rakyat hari ini masih perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli barang dapur. Oleh itu, kerajaan perlu menilai semula langkah pengurangan permit import makanan kerana membuka ruang kepada monopoli, sekali gus menyebabkan kenaikan harga barang.
“Dalam keadaan mencabar, kita memerlukan langkah jangka pendek bagi memastikan harga bahan makanan khususnya beras tidak naik dengan mendadak,” katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian