Ismail Sabri PM ke-9: Ketepi agenda politik, bersatu hati tangani pandemik COVID-19 - Agong
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 20, 2021 17:31 MYT
Ogos 20, 2021 17:31 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin beliau berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
"Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
"Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," menurut beliau.
Kenyataan itu dikeluarkan pasca Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang tadi.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.
"Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat," memetik kenyataan itu.
Justeru kata beliau, Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.
#Yang di-Pertuan Agong
#COVID-19
#Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob
#Datuk Pengelola Bijaya Diraja
#Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
#Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu
#Raja Berperlembagaan