Ismail Sabri hilang majoriti jika PN tarik sokongan - Anthony Loke
Hasimi Muhamad
Ogos 8, 2022 15:43 MYT
Ogos 8, 2022 15:43 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hilang majoriti sekiranya Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bagaimanapun keputusan PN untuk menarik sokongan terhadap kerajaan semuanya terletak kepada mereka, dan tiada kaitan dengan Pakatan Harapan (PH).
Begitupun, beliau menegaskan, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, satu senario politik baharu akan berlaku.
"Sama ada mereka menarik diri (daripada menyokong kerajaan) atau tidak, tiada siapa yang tahu. Satu hari mereka kata, mereka akan tarik diri dan pada hari lain pula pemimpin Bersatu kata ia bukan isu, (dan) mereka tidak pernah putuskan. Jadi, Bersatu pun tak konsisten.
"Memang mereka ini takut hilang jawatan mereka, jadi bagi kita kalau mereka tarik sokongan, maka Ismail Sabri sudah hilang majoriti," katanya dalam sidang akhbar di pejabat DAP, di sini, hari ini.
Hubungan Ismail Sabri dan PN khususnya Bersatu, selaku tonggak gabungan itu dilaporkan ‘dingin’ susulan beberapa tuntutan parti itu tidak diambil tindakan, termasuk persetujuan bertulis untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.
Satu pertemuan di antara pimpinan gabungan berkenaan dengan Ismail Sabri sepatutnya diadakan sebelum ini dipercayai bagi membincangkan terma-terma penting dalam perjanjian di antara PN dan Perdana Menteri, namun, didakwa dibatalkan pada saat-saat akhir.
Rasa tidak puas hati Bersatu juga didakwa tercetus apabila Perdana Menteri masih mengekalkan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi walaupun Ahli Parlimen Ampang itu keluar dari parti itu pada Mei lalu.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, PH setakat ini belum membuat sebarang keputusan dan mengadakan perbincangan.
"Jadi jika senario itu berlaku (PN tarik sokongan), kita akan bincang dan putuskan apa (langkah) seterusnya.
"PH tidak akan membuat sebarang komitmen sekarang... kita tunggu dan lihat keadaan. Kalau ia berlaku, kita akan bincang apakah tindakan kita seterusnya," tambahnya lagi.
#Pakatan Harapan
#PN tarik sokongan kepada Ismail Sabri
#Bersatu sokongan kerajaan
#Politik Malaysia