Ismail Sabri akan ketuai UMNO jika pemilihan parti tahun ini - Nazri
Irwan Muhammad Zain
Julai 14, 2022 17:09 MYT
Julai 14, 2022 17:09 MYT
KUALA LUMPUR: Sekiranya UMNO mengadakan pemilihan parti hujung tahun ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dicalon dan dipilih sebagai presiden parti, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu menjelaskan perkara tersebut ketika ditanya pada satu forum di Yusof Ishak Institute di Singapura pada Khamis, sama ada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh dikalahkan sekiranya pemilihan parti itu diadakan dalam masa terdekat.
"Secara logiknya, jika kita ada pemilihan parti tahun ini. Dia (Ismail Sabri) sepatutnya menjadi presiden parti.
“Maksud saya presiden parti tidak semestinya menjadi perdana menteri dalam keadaan sekarang kerana kita perlu mendapat sokongan daripada gabungan kita.
"Contohnya seperti Zahid hari ini. Dia presiden. Kenapa dia bukan perdana menteri? Atas sebab yang jelas, dia ada kes di mahkamah," katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menjelaskan ahli-ahli UMNO akan menggunakan saluran undi sebagai tempat untuk meluahkan suara hati mereka.
Katanya, saluran undi yang rahsia itu akan digunakan sebaik-baiknya oleh ahli-ahli UMNO bagi menyatakan sokongan atau bantahan mereka kepada mana-mana pemimpin.
"Mereka (ahli UMNO) tidak suka bersuara. Apabila undi adalah rahsia, saya fikir mereka akan melakukan perkara yang betul.
"Mereka tidak perlu berkata apa-apa. Mereka hanya mengundi. Itu sahaja," katanya lagi.
Ketika ditanya, apa akan berlaku sekiranya Ahmad Zahid terus dipilih mengetuai UMNO, Mohamed Nazri menjelaskan keadaan tidak akan berubah kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri.
Mengulas tentang pindaan perlembagaan UMNO yang meluluskan usul agar pemilihan dibuat enam bulan selepas PRU diadakan, Mohamed Nazri menjelaskan apa yang difahaminya pemilihan parti tetap perlu dilakukan, bukan memanjangkan jangka hayat kepimpinan sekarang.