Iskandar sudah tahu apa perlu dilakukan di Jepak

Bernama
Oktober 24, 2023 05:45 MYT
Iskandar menjadi pilihan GPS sebagai calon untuk mengekalkan kerusi DUN Jepak dalam PRK ini yang diadakan setelah penyandangnya untuk hampir enam penggal, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia 15 Sept lepas. - Foto BERNAMA
BINTULU: Dalam tempoh empat hari sejak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak bermula, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, 54, sudah mendapat gambaran tentang apa yang beliau mahu lakukan di kawasan DUN itu jika terpilih menjadi wakil rakyatnya.
Mesra dengan panggilan Es, anak jati Bintulu yang berasal dari Kampung Sebiew dalam DUN Jepak menampakkan keterujaannya ketika menceritakan perancangannya yang bagi beliau, boleh dicapai khususnya untuk manfaat golongan belia.
"Berdasarkan pengalaman, saya biasanya apabila melaksanakan program outreach akan mulakan macam program pencegahan dan saya adunkan mengikut keperluan," kata bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cawangan Sarawak itu kepada Bernama pada Selasa.
Iskandar menjadi pilihan GPS sebagai calon untuk mengekalkan kerusi DUN Jepak dalam PRK ini yang diadakan setelah penyandangnya untuk hampir enam penggal, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia 15 Sept lepas.
Dua pesaing Iskandar dalam PRK ini adalah Stevenson Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Lea Phing mewakili Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi). Pengundian PRK Jepak ditetapkan pada 4 Nov ini.
Menyedari kedudukan Jepak sebagai sebahagian daripada Bandar Bintulu yang terkenal sebagai nadi industri petrokimia dan tenaga negara, Iskandar berkata pembangunan pesat yang berlaku perlu diimbangi dengan aktiviti dan fasiliti rekreasi yang mencukupi.
Menurutnya keperluan riadah ini perlu terutamanya bagi golongan muda untuk mengisi masa santai mereka sebagai antara langkah asas mengurangkan masalah sosial di sini.
"Satu daripada cara ialah kita perbanyakkan program supaya masa santai golongan belia dipenuhi dengan elemen-elemen positif. Kita cuba mewujudkan suasana perlindungan dalam golongan remaja dan belia," katanya.
Beliau berkata satu lagi perancangannya adalah untuk membangunkan pangkalan data bagi mengumpul input pencapaian akademik para belia di kawasan itu bagi membolehkan mereka menjadi modal insan yang bersesuaian dengan keperluan pembangunan.
"Kita akan buat outreach...kumpulkan mereka (belia) dan buat pemadanan kemahiran dengan agensi-agensi yang menawarkan kemahiran supaya mereka akan mendapat pentauliahan," katanya.
Iskandar berkata proses pemadanan ini akan membolehkan para belia untuk menjalani latihan lanjutan bagi meningkatkan lagi kemahiran dan seterusnya kebolehpasaran mereka.
Dalam pada itu, beliau berkata dasar ekonomi digital kerajaan Sarawak yang dimulakan oleh Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg sejak 2017 membuka ruang bagi golongan muda di kawasan Jepak untuk meneroka bidang baharu yang tidak memerlukan banyak fasiliti fizikal.
Beliau berkata golongan muda ini mudah melengkapi diri mereka dari segi pengetahuan digital yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan perisian mahupun aplikasi bagi permainan digital, perniagaan pesan hantar dan sebagainya.
Turut menjadi agenda perancangannya untuk mempromosikan lagi aktiviti e-sukan yang kini diakui sebagai satu aktiviti yang semakin diminati generasi muda sehingga mampu menghasilkan pendapatan yang tinggi.
"Di Sarawak kita memang sudah ada pemain e-sukan dan saya akan panggil mereka ni sebagai pendorong yang boleh membimbing para belia menjadi pemain sepenuh masa yang boleh mendatangkan pendapatan," katanya.
Berpegang kepada falsafah bekerja sebagai satu ibadah, Iskandar berkata adalah menjadi harapannya untuk melihat para belia di Jepak menjadi modal insan bertaraf antarabangsa, mengutamakan keberhasilan kerja yang ikhlas berbanding ganjaran wang ringgit semata-mata.
"Saya hendak DUN Jepak bukan saja dikenali dengan pembangunannya tapi melahirkan modal insan yang mampu memberikan nilai tambah kepada produk-produk unik seperti belacan atau hasil laut yang boleh dipasarkan," katanya.
Beliau juga bercadang untuk mewujudkan pusat perniagaan produk tempatan yang menyamai konsep Pasar Minggu Satok di Kuching bagi membolehkan penduduk kampung dan rumah panjang di kawasan DUN Jepak untuk memasarkan produk mereka.
-- BERNAMA
#GPS #golongan belia #PRK DUN Jepak #Iskandar Turkee
;