Isi jawatan Timbalan Ketua Menteri? Menang dulu PRN Sarawak - Mussen
Hasimi Muhamad
November 25, 2021 18:40 MYT
November 25, 2021 18:40 MYT
LUBOK ANTU: Datuk Malcolm Mussen Lamoh sedia mempertimbangkan tawaran sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS), jika diberi kepercayaan oleh kerajaan baharu selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12.
Bagaimanapun, Mussen menegaskan fokus ketika ini perlu diberikan kepada PRN Sarawak yang dijadual pada 18 Disember ini.
"Saya rasa kita perlu memenangi pilihan raya dulu.. satu demi satu.
"Apa pun cabaran atau tugas yang diagihkan memang saya sedia menerimanya . Tetapi ini terpulang kepada pucuk pimpinan GPS (Gabungan Parti Sarawak)," katanya kepada Astro AWANI selepas membuat lawatan ke rumah panjang Rantau Kemayau Manis di Ulu Engkari, di sini.
Mussen berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus bahawa beliau antara empat menteri muda daripada PRS yang bakal dicalonkan untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
Selain beliau, bekas menteri muda daripada PRS adalah Datuk Snowdan Lawan; Datuk Liwan Lagang; serta Datuk John Sikie Tayai.
Sebelum ini, jawatan tersebut digalas oleh Presiden PRS, mendiang Tan Sri Datuk James Jemut Masing.
Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh meninggal dunia pada 31 Oktober lalu akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19.
Mengulas lanjut, Bendahari Agung PRS itu berharap calon PRS boleh memenangi kerusi yang dipertandingkan pada PRN Sarawak akan datang.
Sebaik kemenangan dikecapi PRS pada pilihan raya tersebut, Mussen berkata perbincangan boleh dibuat mengenai peranan PRS sebagai parti komponen dalam GPS.
Pada PRN Sarawak ke-11, Mussen menang kerusi DUN Batang Ai dengan majoriti 3,186 undi selepas menewaskan calon PKR, Kolien Liong.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12.
Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Disember.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari sehingga jam 11.59 malam 17 Disember.