Iringi calon ke PPC DUN Telok Mas, polis buka kertas siasatan

Shuhada Abdul Kadir
November 8, 2021 10:30 MYT
Pasukan Cantas Khas bertindak pantas menyuraikan dan memberi amaran kepada penyokong agar mereka bersurai.
TELOK MAS: Amaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak ada perarakan mahupun aktiviti perkumpulan oleh penyokong sempena pilihan raya negeri (PRN) Melaka nampaknya tidak diendahkan oleh parti-parti politik.
Meskipun kawalan ketat dilaksanakan pihak berkuasa dan petugas SPR, masih kelihatan penyokong yang mengiringi calon mereka ke Pusat Penamaan Calon (PPC).
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, satu kertas siasatan dibuka di Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas yang merupakan PPC bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Kumpulan individu berpakaian kemeja T berwarna merah itu dikesan berarak mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
“Kita dapati terdapat kehadiran lebih kurang 25 penyokong dari PH mengiringi calon di kawasan DUN Telok Mas ini dan kertas siasatan akan dibuka.
“Pasukan Cantas Khas kemudian telah bertindak pantas menyuraikan dan memberi amaran kepada penyokong agar mereka bersurai sebelum semua beredar dari lokasi PPC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dun Telok Mas, di sini.
BACA: LAPOR LANGSUNG PRN Melaka berlangsung dalam norma baharu
Mengulas lanjut, katanya, pihak polis akan mengenal pasti individu-individu terlibat sebelum siasatan diteruskan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)
SPR sebelum ini sudah mengeluarkan amaran kepada semua parti, tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding di mana-mana tempat sepanjang tempoh penamaan calon.
Hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon sekali gus menyaksikan kelainan berbanding pilihan raya sebelum ini.
#perarakan #pusat penamaan calon #penyokong mengiringi calon #DUN Telok Mas
;