Inti pati 'aku janji' tular tidak tepat, fitnah terhadap UMNO dan BN - Ahmad Maslan
Astro Awani
November 2, 2022 04:10 MYT
November 2, 2022 04:10 MYT
JOHOR BAHRU: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan dakwaan wujudnya surat aku janji sokongan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.
Tegasnya, penyebaran isi kandungan surat itu yang tular di media sosial merupakan satu fitnah terhadap UMNO dan BN.
"Saya hendak sebutkan bahawa semua calon yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor tandatangani aku janji untuk setia kepada parti.
"Untuk PRU15 kali ini, mereka juga tandatangan aku janji, ia bukan satu masalah kerana untuk keutuhan parti sebab kita tidak mahu kejadian lompat parti berlaku.
"Ia terbukti apabila di Sabah tiada ada kejadian lompat parti berlaku kerana ada aku janji yang kita tandatangani," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri Majlis pelancaran jentera BN Johor di Educity Indoor Arena Iskandar Puteri pada Rabu.
Sebelum itu, tular dokumen dengan kepala surat UMNO yang tertera tandatangan Ahmad Zahid dan Ahmad Maslan.
Selain itu, antara kandungan lain dalam surat berkenaan termasuk usaha untuk menggugurkan kesemua kes-kes mahkamah membabitkan pemimpin UMNO.
Ahmad yang juga calon BN di Parlimen Pontian menegaskan aku janji yang ditandatangani calon UMNO dan BN penting sebagai tanda kesetiaan kepada parti.