Institusi Kabinet Bayangan selaras semak imbang polisi, dasar kerajaan - IDEAS

Fauzi Suhaimi
Disember 20, 2020 14:11 MYT
Aira berkata, institusi itu turut dibentuk di negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang sama seperti di UK dan Australia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pembangkang perlu menubuhkan secara rasmi institusi Kabinet Bayangan bagi memastikan suara yang dibawa mereka akan didengar dan diambil serius kerajaan.
Pengurus, Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata, langkah itu dilihat lebih berkesan dan strategik selain mampu melihat kemampuan dan keupayaan pembangkang jika berjaya membentuk kerajaan kelak.
Katanya, institusi itu turut dibentuk di negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang sama seperti di United Kingdom (UK) dan Australia.
"Kaedah ini dilihat mampu mendatangkan kesan mendalam dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.
"Ini kerana, saya berpendapat, jika tiada institusi seperti ini, setiap suara yang dibawakan Ahli Parlimen (MP) tidak mewakili majoriti dan jika saya kerajaan, belum tentu saya akan pertimbangkan cadangan itu.
"Justeru, langkah ini dilihat lebih sistematik selain setiap pandangan dan cadangan yang disuarakan akan diambil kira kerajaan kerana ia merupakan suara kolektif pembangkang dan bukan suara individu Ahli Parlimen," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.
Aira berkata, usaha itu juga mampu menyelaras semak dan imbang setiap dasar dan politik yang diperkenalkan kerajaan.
"Sehingga hari ini, Malaysia masih tiada mempunyai sistem Kabinet Bayangan secara rasmi dan apa yang dilakukan sebelum ini hanyalah wakil jurucakap bagi sesebuah kementerian sahaja seperti mana ketika Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang sebelum ini.
"Pada ketika itu, nampak tujuan dan konsep semak imbang antara kerajaan dan pembangkang, namun ia bukanlah sesuatu yang rasmi dan tidak formal," katanya.
#Barisan Nasional #politik #pembangkang #kabinet #Parlimen #kerajaan #ekonomi #kabinet bayangan #Semak Imbang #ideas
;