'Inilah saya... sempoi gila' - MB Perak

Nazialita Geynna Maharan
Julai 5, 2018 20:05 MYT
Ahmad Faizal beramah mesra dengan orang ramai ketika di Majlis Rumah Terbuka PPBM di Sungai Siput, hari ini. - Astro AWANI
"Orang kata saya terlalu sempoi. Tak apa… tapi inilah Menteri Besar anda."
Begitu reaksi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu terhadap komen-komen orang ramai tentang personaliti pemimpin nombor satu negeri itu.
Menurutnya, setelah hampir dua bulan memegang tampuk pemerintahan negeri, beliau menyedari ada pihak yang mungkin tidak senang dengan sikap cerianya.
Katanya, sifatnya yang bersahaja itu bukan lakonan untuk memenangi hati orang ramai tetapi adalah sifat semulajadi dirinya yang sememangnya dikenali rakan-rakannya sejak dahulu lagi.
Beliau bagaimanapun mengakui kemungkinan ada pihak yang terasa dengan sifatnya itu dan tidak menolak ada ruang untuknya memperbaiki diri.
"Iman saya masih nipis, masih banyak perlu diperbaiki. Tetapi, yang palsu tetap palsu, yang benar tetap benar. Ada yang kata saya sempoi, gila, tak apa.
"Tapi inilah Menteri Besar anda sekarang," katanya sambil menerima tepukan di Majlis Rumah Terbuka Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sungai Siput di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta barisan kepimpinan PPBM negeri.
Jelas Ahmad Faizal yang juga dikenali sebagai 'Peja', beliau banyak mempelajari benda baru sejak menerima amanah sebagai Menteri Besar Perak dan mengganggapnya sebagai pengajaran istimewa.
Beliau meletakkan azam akan terus belajar untuk memperbaiki diri.
Dalam usaha menyesuaikan diri dengan jadual harian yang padat, Ahmad Faizal berkata beliau tetap tidak lupa mencuri masa dalam usaha memantapkan akidah dalam bidang keagamaan menerusi program-program tertentu, baik bersama kerabat diraja atau masyarakat setempat.
#Ahmad Faizal Azumu #Menteri Besar Perak
;