Inilah harinya!

Irwan Muhammad Zain
Mei 8, 2018 07:45 MYT
Ramai yang melihat saingan dalam PRU14 ini adalah antara BN dan PH, biarpun Pas turut bertanding dengan gabungan Gagasan Sejahteranya. - Gambar hiasan
HARI ini, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, lebih 14 juta pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia dalam memberi mandat kepada kerajaan yang akan mentadbir negara ini untuk tempoh 5 tahun mendatang.
Sebelas hari sebelum ini, semua calon termasuk yang bertanding atas tiket Bebas telah bertemu pengundi dan berkempen untuk memastikan mereka menjadi pilihan pada hari yang ditunggu-tunggu iaitu hari ini, 9 Mei 2018, hari yang dipilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai hari membuang undi.
Semua pihak yang bertanding mempunyai keyakinan, rakyat akan memberi mereka mandat untuk membentuk kerajaan esok.
Keyakinan itu pula disandarkan dengan beberapa kajian yang dibuat oleh beberapa universiti dan badan penyelidik, termasuk yang dimiliki oleh parti-parti politik.
Kajian-kajian ini dibuat berdasarkan beberapa kaedah untuk menentukan kecenderungan pengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kali ini.
Banyak kajian yang dibuat untuk pilihan raya kali ini sukar mengagak kecenderungan pengundi atas pagar atau pengundi senyap (silent voters), yang mana jumlahnya sangat besar.
Namun ramai penyelidik yakin, pengundi atas pagar atau pengundi senyap ini telah membuat keputusan masing-masing, sama ada mahu mengundi Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, atau Pas, atau juga membuat undi rosak.
Dijangkakan selepas jam 9 malam ini, keputusan rasmi parti mana akan membentuk kerajaan akan mula diketahui.
Ramai yang melihat saingan kali ini adalah antara BN dan PH.
Biarpun Pas turut bertanding dengan gabungan Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), kehadiran mereka dengan manifesto yang dilancar beberapa kali kerana mempunyai tiga fasa, kurang dirasai.
Namun begitu, BN yang telah sekian lama membentuk kerajaan juga yakin bahawa mereka akan terus diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui negara. Keyakinan itu berdasarkan pencapaian mereka selama ini.
Begitu juga PH, mereka yakin kali ini akan berlaku ‘tsunami rakyat’ dan usaha untuk membentuk kerajaan baharu akan tercapai. Pemimpin dan penyokong PH sangat yakin, Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali menerajui negara.
Di pihak Pas, mereka juga yakin akan membentuk kerajaan baharu atas faktor yang mereka namakan ‘tsunami hijau’ akan melanda hari ini.
Itu andaian BN, PH dan Pas. Semua pihak perlu menghormati hak demokrasi satu sama lain.
Apa pun yang BN, PH dan Pas yakin, keputusan terletak di tangan lebih 14 juta pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia. Adakah akan berlaku perubahan pentadbiran negara atau kekal status quo?
Hari ini akan terjawab semuanya kerana inilah harinya!
#Barisan Nasional #Gagasan Sejahtera #kerajaan #Malaysia #MalaysiaMemilih #mengundi #Pakatan Harapan #PAS #PKR #PRU14 #UMNO #undi
;