Ini tuduhan liar: Nga, Ngeh, Siva perlu dikenakan tindakan - Shahrir

Harits Asyraf Hasnan
Mac 8, 2018 17:23 MYT
nggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad merangkap Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) ketika sidang akhbar pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Kerajaan dan Parlimen digesa mengambil tindakan terhadap tiga Ahli Parlimen DAP yang didakwa tidak menghormati Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Gesaan Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) itu ditujukan buat ketiga-tiga Ahli Parlimen DAP iaitu Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V Sivakumar (Batu Gajah).
Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata gesaan itu dibuat selepas ketiga-tiga Ahli Parlimen itu bertindak menuduh Pandikar Amin bersubahat menutup skandal rasuah lantaran menolak usul dan soalan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikemukakan pembangkang.
"Ternyata soalan berkaitan 1MDB memang dirancang kerana pembangkang berpendapat Speaker akan menolak soalan berkaitan perkara itu kerana sebahagiannya adalah subjudis.
"Namun, bukan semua usul berkaitan 1MDB ditolak. Dalam sidang media pada 27 Julai tahun lalu, Tan Sri Pandikar Amin memaklumkan, 19 soalan berkaitan 1MDB dibenarkan untuk dibahaskan pada sesi berkenaan.
"Tapi bila dituduh dengan sebegitu liar mengenai sikap dan kuasa budi bicara Speaker, kami anggap ini perbuatan melampau dan perlu diambil tindakan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan, Koo Ham, Kor Ming dan Sivakumar menggesa Pandikar Amin meletakkan jawatan kerana menolak usul dan soalan pembangkang berhubung rampasan kapal mewah Equanimity dan 1MDB.
Shahrir berkata, ketiga-tiga Ahli Parlimen DAP itu perlu mengambil pengajaran mengenai penggantungan Ahli Parlimen Batu Gajah dari parti itu, Fong Po Kuan selama enam bulan pada 2001.
"Kes itu boleh menjadi rujukan apabila Po Kuan digantung kerana menghina dan enggan memohon maaf kepada Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tun Mohamed Zahir Ismail, selepas menuduh beliau menyalahgunakan kuasa budi bicara ketika menolak usul mengenai peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP)," katanya.
Ditanya sama ada Koo Ham, Kor Ming dan Sivakumar perlu dirujuk pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, Shahrir berkata ia bergantung kepada kerajaan dan Parlimen.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Barisan Nasional #DAP #Dewan Rakyat #kerajaan #Nga Kor Ming #Ngeh Koo Ham #Pandikar Amin Mulia #Parlimen #pembangkang #politik #V Sivakumar
;