KUALA SELANGOR: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa minta ahli dan penyokong UMNO di enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi menyelamatkan parti yang banyak berjasa demi pembangunan negara sejak sebelum kemerdekaan.

Annuar berkata, hanya ada satu ruang sekiranya UMNO ingin dipulihkan iaitu melalui referendum rakyat pada PRN, 12 Ogos ini.

"Ini peluang terakhir ahli-ahli UMNO menyelamatkan parti ini dengan menyertai referendum rakyat, walaupun terpaksa melihat UMNO kalah dan hanya dengan kekalahan teruk barulah dapat diselamatkan," katanya semasa berucap pada Ceramah Umum di Mamba'ul Huda Tanjong Karang di sini, pada malam Sabtu.

Beliau memberitahu, sekiranya UMNO terus diberi mandat dalam PRN enam negeri ini, beliau bimbang parti itu terus menjadi alat kepada parti lain.

Ditanya adakah beliau masih menyayangi UMNO, Annuar berkata, semua orang Melayu yang tahu tentang sejarah politik menyayangi parti itu.

"Orang Pas sayang pada UMNO dan orang yang faham bermulanya politik negara ini dihidupkan oleh UMNO dan kemudian kita ada berbeza pendapat, maka lahir Pas dan parti-parti lain, tapi semua parti ini perjuangannya bermula daripada UMNO itu sendiri," ujar beliau.

Jelas beliau, UMNO berada pada landasan dan perjuangan yang betul, tetapi pemimpin UMNO ketika ini menjadikan parti itu tidak lagi dihormati.

"Jadi rakyat tidak boleh menunggu UMNO, macam saya tak menunggu UMNO kerana parti ini buang (pecat) saya.

"Kalau saya duduk dalam UMNO akan berusaha baiki (parti ini). Bagaimana hendak baiki? Saya kena bersuara dan tidak boleh dicucuk hidung," jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, beliau bukan lagi menjadi ahli UMNO setelah dipecat parti itu dan kini telah menyertai Pas.

Menurut beliau, Pas tidak pernah 'mematikan' UMNO, sebaliknya berjuang mirip dengan dasar-dasar diperjuangkan UMNO.

"Pada saya UMNO dan Pas ada peranan masing-masing dan bila UMNO lemah, Pas wajib menjadi pengganti.

"Pas mesti mengambil obor-obor yang dicampakkan UMNO yang telah membuang obor-obor dan lari daripada tanggungjawab," jelas beliau.

Justeru, Annuar memberitahu, tidak salah sekiranya ahli UMNO memberi sokongan kepada PN dalam PRN enam negeri.

"Kita akan sampai ke stesen sama dan ibarat kereta (dinaiki) rosak dan kita naik kereta lain dan sampai ke stesen dituju," tambahnya.

Mengulas mengenai peluang PN dalam PRN enam negeri, Annuar memberitahu, pengundi Melayu dan bumiputera serta bukan Melayu akan bersatu padu di bawah satu obor sama dengan menyokong PN.

Katanya, di Selangor ini misalnya menyaksikan penyatuan pada tahap tertinggi dan mampu mengambil alih pentadbiran di Selangor.

"Saya yakin pengundi Selangor akan bersatu dan bersama-sama untuk bawa perubahan dan jika berubah di Selangor, maka berubahlah Putrajaya," ujarnya. - Sinar Harian