Ini nasihat Sultan Perak kepada mereka yang punya kuasa

Harits Asyraf Hasnan
Disember 10, 2020 13:12 MYT
Sultan Nazrin mengingatkan para pemimpin bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. - Foto Jabatan Penerangan
KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan setiap mereka yang diberi kuasa untuk tidak leka dalam menjalankan amanah.
Titah baginda, mereka yang diberi kuasa perlulah cekal menegakkan yang makruf dan tegas menentang yang mungkar.
“Kekuatannya, perlindungan ke atas dirinya dan benteng ketahanan kepada dirinya datang daripada Ilahi.
“Dia tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan; begitu juga, dia tidak perlu melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri, kerana kekuatan yang diperoleh secara demikian, teramat rapuh sifatnya,” titah baginda.
BACA: [LAPOR LANGSUNG]: Saarani MB baharu Perak
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Ke-14, Datuk Saarani Mohamad di Istana Iskandariah, di sini hari ini.
Titah Sultan Nazrin, sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa.
“Betapa kata tidak lagi dikota, atau kata akan bertukar nada – berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih, dan yang putih itu hitam.
“Watak sebenar insan akan terpamer, apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta, lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.
“Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin,” titah baginda.
Justeru, Sultan Nazrin mengingatkan para pemimpin bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak.
“Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang- awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin telah berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titah baginda.
#KUASA #nasihat #Amanah #Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah #makruf #mungkar #sogokan #imbuhan #politik perak #Menteri Besar #Saarani Mohamad
;