Ini nasihat Shafie kepada anak Musa Aman

Fifi Harteeny Marzuki
Januari 8, 2019 18:06 MYT
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat yang diamanahkan, Yamani Hafez wajar sedar akan tanggungjawab yang diberikan terhadapnya selain bersedia menebus 'kesalahan' sebelum ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menasihatkan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan bukanlah sekadar mengesahkan jawatan dengan mengangkat sumpah.
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat yang diamanahkan, Yamani Hafez wajar sedar akan tanggungjawab yang diberikan terhadapnya selain bersedia menebus 'kesalahan' sebelum ini.
Jelas Mohd Shafie, tidak ada halangan untuk Ahli Parlimen Sipitang itu mengangkat sumpah walaupun tempoh yang diambil memakan masa yang lama.
"Beliau (Yamani) boleh angkat sumpah kerana tidak ada halangan untuk kita menafikan hak beliau apabila beliau menang pada pilihan raya lepas.
"Walaupun agak lambat beliau berbuat demikian tetapi yang penting bukan hanya angkat sumpah tetapi tanggungjawab kepada rakyat yang mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Rumah Terbuka Krismas di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini, hari ini.
Yamani Hafez yang menggangkat sumpah semalam di Kamar Khas Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, merupakan wakil rakyat terakhir sekali berbuat demikian selepas dilaporkan 'hilang' sejak 9 Mei lalu.
Sehingga ke hari ini, beliau masih belum menjelaskan sebarang kenyataan berhubung ketiadaannya selama hampir sembilan bulan selepas selesai memenangi kerusi Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun lepas.
Sementara itu, Mohd Shafie dalam majlis rumah terbuka berkenaan menggesa rakyat Sabah supaya sentiasa mengekalkan keunikan dan identiti Sabah yang hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang kekacauan.
"Penganjuran rumah terbuka ini merupakan satu keunikan di peringkat negeri Sabah dan kita harus pelihara dengan baik agar keharmonian masyarakat pelbagai kaum, pelbagai anutan agama dapat kita dikekalkan," katanya.
#Ahli Parlimen Sipitang #angkat sumpah #Dewan Rakyat #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #rakyat #Shafie Apdal #Sipitang #tanggungjawab #Yamani Hafez Musa
;