Ini masanya berkhidmat kepada rakyat, bukan berebut kuasa - Muhyiddin
Ridauddin Daud
November 28, 2020 16:53 MYT
November 28, 2020 16:53 MYT
KUALA LUMPUR : Sekarang adalah masanya untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengamalkan politik khidmat, politik prihatin, politik kerja, bukannya politik berebut kuasa.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau cakna dengan keluhan rakyat yang mula berasa muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan.
Menurutnya, rakyat mahu pemimpin politik membantu mereka, bukan selamanya berebut kuasa.
“Inilah masanya Bersatu bangkit membantu rakyat. Ini peranan saudara dan saudari sekalian di peringkat bahagian dan cawangan.
“Dalam keadaan kehidupan rakyat sedang terjejas akibat pandemik COVID-19, ramai yang sedang menunggu bantuan di luar sana. Ramai yang sedang susah. Ada yang sakit. Ada ibu tunggal, orang kurang upaya dan lain-lain yang mengharapkan bantuan kita.
"Sampaikanlah khidmat dan bantuan anda kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya rakyat akan lebih menghargai saudara dan saudari sekalian jika inilah yang saudara dan saudari lakukan," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden secara maya dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu.
Dalam masa sama, Muhyiddin menggesa jentera parti dipersiapkan secepat mungkin bagi menghadapi pilihan raya.
“Latihan untuk jentera pilihan raya parti mesti dimulai dari sekarang. Jangan kita tunggu di saat akhir untuk melakukan persediaan.
“Kesiapsiagaan jentera pilihan raya adalah penting kerana pilihan raya berkemungkinan boleh diadakan pada bila-bila masa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, beberapa pindaan akan dibuat terhadap Perlembagaan parti dan ia adalah sebahagian daripada proses untuk menambah baik kekuatan parti.
“Pindaan-pindaan ini adalah penting untuk memastikan parti kita dapat berfungsi dengan lebih baik sesuai dengan realiti semasa. Ini termasuklah pindaan fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan parti untuk menubuhkan Sayap Ahli Bersekutu.
“Ini adalah satu lonjakan utama dalam proses pematangan parti kita sebagai sebuah parti pribumi yang bersifat terbuka dan inklusif dalam sebuah masyarakat majmuk yang demokratik, harmoni dan bersatu-padu,” katanya.
#Muhyiddin Yassin
#PPBM
#Bersatu
#PAT
#Perhimpunan Agung Tahunan
#pilihan raya
#politik
#presiden
#rakyat
#pandemik
#berebut kuasa
#COVID-19
#Perlembagaan
#parti
#Perdana Menteri