"Ini bukan penghujung kerjaya politik saya" - Dyana
Teoh El Sen
Mei 31, 2014 23:00 MYT
Mei 31, 2014 23:00 MYT
Dyana Sofya Mohd Daud berkata kekalahan ini bukan penghujung bagi kerjaya politiknya.
"Secara jujur, saya kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kerusi parlimen Teluk Intan.
"Tetapi ini bukan penghujung kepada Dyana," katanya kepada pemberita di pusat operasi DAP di sini.
Peguam berusia 27 tahun berjanji bahawa perjuangan beliau, khususnya untuk menamatkan politik perkauman, akan berterusan.
"Saya tidak akan kecewakan anda. Saya masih akan berada di sini dan tinggal di Teluk Intan," katanya.
"Jangan kecewa. Teruskan perjuangan bersama saya. Misi kami tidak berakhir,” katanya sambil seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang membantu.
Sementara itu, bekas majikan beliau dan penasihat DAP Lim Kit Siang berkata Dyana telah membuat langkah bersejarah dalam politik Malaysia, tetapi berkata lebih banyak masa diperlukan untuk perubahan.
"Ada kesedihan, kekecewaan, tetapi perjuangan perlu diteruskan.
"Dalam masa yang singkat, dia meraih 19,000 undi. Tetapi ia tidak mencukupi untuk kemenangan. Mungkin kita memerlukan lebih banyak masa dan usaha yang lebih. Terima kasih kepada semua orang yang datang. Jika lebih ramai yang datang, mungkin keputusan akan berbeza," kata Kit Siang.
Kekalahan Dyana kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong, yang merampas semula kerusi itu dari DAP dalam pilihan raya kecil itu dengan majoriti kecil 238 undi.
Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, walaupun dia tewas, Dyana akan dilantik ke dalam Exco Perak yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia.