'Ini bukan masanya lobi jadi calon' - Noh

Sinar Harian
Mei 29, 2022 23:13 MYT
Noh berkata, pemimpin seharusnya mengambil kesempatan untuk bertemu dengan rakyat dalam usaha memastikan UMNO kembali berkuasa di Selangor pada PRU15. - Gambar/ Bernama
KUALA SELANGOR: Pemimpin politik terutama di negeri Selangor diingatkan terus bekerja untuk mendekati rakyat dan bukan menawarkan diri menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, soal sesiapa hendak menjadi calon mewakili parti itu tidak sepatutnya timbul pada masa sekarang.
"Ini bukan masanya untuk melobi menjadi calon kerana bagi saya, kita perlu turun padang melibatkan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Perasmian Galeri Hoki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang pada Ahad.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, soal calon ditentukan pucuk pimpinan tertinggi parti dan oleh itu semua pemimpin perlu terus turun padang mendekati rakyat.
Katanya, pemimpin seharusnya mengambil kesempatan untuk bertemu dengan rakyat dalam usaha memastikan UMNO kembali berkuasa di negeri ini pada PRU15.
"Kita di Selangor sudah tiga kali kalah dalam PRU, inilah sebenarnya masa untuk kita dekati dan mengembalikan kepercayaan rakyat di negeri ini.
"Saya berharap semua pemimpin dapat mengukuhkan perpaduan dan paling penting teruskan khidmat kepada rakyat," ujar beliau.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyatakan hasrat untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU15.
Mohamad Khir berkata, hasrat itu bertujuan merampas dan mengembalikan semula kerusi Parlimen Sungai Besar kepada UMNO selepas dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu.
Artikel asal di Sinar Harian.
#UMNO Selangor #PRU15 #Noh Omar #Khir Toyo
;