Impian wujudkan pusat kraf Bidayuh dan hotel bertaraf 3 bintang di Serian

Malissa Sahari
Mei 4, 2018 18:51 MYT
Serian mempunyai potensi untuk dikembangkan memandangkan ia menjadi tumpuan pelancong. - Foto: www.serian.sarawak.gov.my
Hari-hari terakhir berkempen kita dapat saksikan bukan sahaja calon-calon, malah penduduk mahupun rakyat itu sendiri berlumba-lumba menyuarakan impian mereka.
Daripada keinginan yang disuarakan, adalah tinggi harapan mereka agar semua itu sampai ke dalam pengetahuan dan diambil tindakan oleh pemimpin yang bakal menjadi wakil rakyat mereka.
Di mana-mana sahaja, baik di bandar atau luar bandar, hasrat orang ramai pastinya sama iaitu mahu melihat kemajuan dan penambahbaikan yang boleh menyumbang kepada impak kehidupan yang lebih baik.
Sebagai contoh Parlimen Serian (P.199), merangkumi daerah Serian, Tebedu dan daerah kecil Siburan berkeluasan 2,405 km persegi.
Menerusi portal rasmi pentadbiran bahagian Serian, kaum Bidayuh merupakan yang tertinggi di situ iaitu 84,221 orang diikuti Melayu/Jawa/Bugis (25,719 orang), yang tinggal di bahagian ke-12 dalam negeri Sarawak.
Perjalanan ke Serian dari Kuching mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit, dan kini kecepatan tempoh perjalanan dan kelancarannya masih belum mencapai tahap optimum memandangkan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo masih dijalankan.
Secara umumnya, warga Serian bersyukur dengan apa sahaja pembangunan yang sudah ada di situ, dan 'senarai permintaan' mereka juga tidak banyak.
Paling utama, jika sesuatu yang baru hendak dilakukan atau ditambah baik, hendaklah dilakukan untuk dimanfaatkan semua pihak.
Bagi Tracy Mirau, 30 tahun, dia menginginkan sebuah Pusat Kraf Bidayuh di situ.
Wanita Bidayuh yang berniaga sayur-sayuran itu berkata, pusat kraf perlu ditambah di kawasan sekitar kerana ia adalah prospek terbaik untuk memasarkan nama Serian.
Jelas Tracy, ketika ini Serian sering jadi kunjungan pelancong luar negara.
Sementara itu, bagi seorang peniaga kuih di Pasar Serian, Johari Abdul Karim, jika sudah ada Pan Borneo dan LRT, alangkah elok jika dibangunkan juga hotel bertaraf 3 bintang atau mungkin lebih.
Johari yang berusia 36 tahun sudah tinggal di Kampung Ri'eh, Serian selama lebih 17 tahun.
Bagi kerusi ini, pengundi bakal menyaksikan calon veteran yang sudah memegang kerusi ini selama lebih enam penggal, iaitu Datuk Seri Richard Riot Jaem dari Barisan Nasional yang berdepan saingan daripada dua lawannya, iaitu Edward Andrew Luwak (DAP) dan Senior William (Bebas).
Pada PRU13 yang lalu, kerusi P.199 disebut-sebut sebagai kawasan putih atau selamat kerana semangat pengundi Bidayuh yang tinggal di luar bandar.
Adakah sejarah PRU13 bakal berulang?
9 Mei nanti persoalan itu bakal terjawab!
#DAP #Datuk Seri Richard Riot Jaem #Edward Andrew Luwak #LRT #Serian #Siburan #Tebedu
;