Impian Pakatan kuasai Putrajaya semakin jauh tanpa PAS - Salleh
Bernama
Julai 16, 2017 11:18 MYT
Julai 16, 2017 11:18 MYT
Impian Pakatan Harapan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semakin jauh tanpa sokongan pengundi PAS berikutan parti itu yang kini tidak lagi bersama pakatan pembangkang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pencapaian besar DAP dan PKR dalam PRU 2008 dan 2013 adalah kerana sokongan PAS yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (yang sudah berkubur dan pembangkang kini membentuk gabungan baharu dikenali sebagai Pakatan Harapan).
“Tanpa sokongan pengundi PAS, tentunya DAP dan PKR tidak mencapai kemenangan ini. Tanpa sokongan PAS, tentunya DAP dan PKR tidak akan kuat lagi.
“Bayangkan tanpa PAS, sejumlah 70 peratus pengundi PAS dalam PRU 2013 tidak lagi mengundi pakatan pembangkang? Dengan peralihan undi sejumlah ini, kekuatan pembangkang tentunya tempang,” katanya dalam catatan di blognya sskeruak,blogspot.my, hari ini.
Menurut Salleh, PKR dan Parti Amanah Negara tidak boleh membantu pembangkang untuk menarik undi Melayu kerana kedua-dua parti tersebut tidak mempunyai tapak politik yang kukuh dan gabungan mereka rapuh.
“Dengan kekurangan ini, tentunya Pakatan Harapan yang baharu ditubuhkan tidak mendapat keyakinan pengundi,” katanya.
Pencapaian besar DAP dalam politik negara, kata Salleh, hanya tercapai dalam PRU 2008 apabila bekerjasama dengan PAS dan menyaksikan DAP memenangi 28 kerusi dan PKR 31 kerusi. Melalui kerjasama berterusan dengan PAS pada PRU 2013, DAP menang 38 kerusi dan PKR (30).
“Dahulu ketika DAP bertanding sendirian, pencapaian parti itu adalah jauh daripada memberangsangkan. Dalam PRU 1969 semasa pembangkang menang besar, DAP hanya memenangi 13 kerusi, 1974 (9), 1978 (16), 1982 (9), 1986 (24), 1990 (20) dan 1995 (9),” kata Salleh.
Seramai 84.84 peratus keluar mengundi daripada jumlah 13,268,002 pengundi berdaftar pada PRU13 dengan keputusan Barisan Nasional (BN) memperoleh 5,237,699 undi, PAS (1,633,389 undi), DAP (1,736,267 undi), dan selebihnya parti-parti lain.
“Sesungguhnya, sejarah menunjukkan PAS adalah tunjang kepada kekuatan pembangkang sepertimana UMNO adalah tunjang kepada kekuatan BN. Kini realitinya, DAP adalah tunjang kepada Pakatan Harapan,” katanya.
-- BERNAMA