Ikut tradisi ketua menteri Cina di Pulau Pinang - Periasamy
Wan Syamsul Amly
September 24, 2017 12:00 MYT
September 24, 2017 12:00 MYT
Lantikan Ketua Menteri Pulau Pinang terdiri daripada pemimpin keturunan Cina menjadi tradisi negeri itu sejak kemerdekaan negara.
Selain itu, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk M Periasamy berkata, ia juga berasaskan faktor komposisi pengundi Cina yang jauh lebih besar berbanding kaum lain di negeri itu sendiri.
"Sejarah menunjukkan sejak merdeka atau pilihanraya pertama, Ketua Menteri Pulau Pinang adalah terdiri daripada atau dipegang oleh seorang pemimpin politik keturuan Cina.
Sebagai contoh, pada tahun 1957-1969, Wong Pow Nee (MCA), 1969- 1990, Dr.Lim Chong Eu (Gerakan), 1990-2008, Dr Koh Tsu Koon (Gerakan). Selepas itu, sejak 2008, Lim Guan Eng daripada DAP.
"Lantikan ini adalah mungkin berdasarkan komposisi peratusan pengundi di Pulau Pinang. Pengundi Cina di Pulau Pinang merupakan paling besar iaitu lebih daripada separuh, iaitu hampir 54 peratus, manakala Melayu 35 peratus dan India 11 peratus. Jadi, secara tradisinya, Ketua Menteri Pulau Pinang adalah dilantik dari kaum Cina," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Isu Pulau Pinang perlu mempunyai seorang ketua menteri Melayu dilaporkan sebuah portal berita sebelum ini yang berpandangan bahawa sudah tiba masanya negeri itu ditadbir oleh seorang Melayu selepas sekian lama ia ditadbir oleh ketua menteri berbangsa Cina.
Lapor penulis politik di portal berkenaan, kalau pun calon ketua Menteri itu kelak bukan daripada UMNO-BN, ia juga boleh datang daripada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.
Dalam pada itu kata Periasamy, lantikan pemimpin Cina sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bukan bermakna Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) ketandusan wakil Melayu di negeri itu.
"Untuk pihak BN, mereka tidak kekurangan atau ketandusan tokoh politik untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, malah tokoh politik dari UMNO pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri.
"Namun, saya rasa pihak PH menghadapi masalah dalam hal ini kerana mereka selalu bersengketa sesama sendiri untuk melantik pemimpin di kalangan mereka," jelasnya.
Tambahnya, dasar politik Gerakan sendiri didapati amat terbuka dan jelas malah tidak timbul masalah untuk mereka menerima seorang ketua menteri daripada kaum Melayu seandainya mereka kembali berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
"Gerakan sebagai sebuah parti komponan setia BN perlu menghormati malah akur kepada kehendak majoriti komuniti Cina di Pulau Pinang," ujarnya.
Untuk rekod, Ketua Menteri pertama Pulau Pinang adalah daripada MCA sebelum beralih kepada Gerakan pada 1969.
Kemudian Gerakan menyertai BN dengan seorang ketua menteri paling lama yang memegang jawatan sehingga empat penggal iaitu Dr Koh Tsu Koon.
Pada 2008, BN kalah dan kini sudah dua penggal Guan Eng menjadi ketua menteri.