Idris Haron, Ahmad Razif tewas, Adnan Yaakob kekal ketua bahagian
Bernama
Jun 30, 2018 07:32 MYT
Jun 30, 2018 07:32 MYT
Pemilihan UMNO Bahagian pada Sabtu menyaksikan kejutan dengan beberapa nama besar tumpas dan gagal mempertahankan kerusi berkenaan kepada pencabar masing-masing.
Penyandang Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, tewas kepada Naib Ketua Bahagian Apli Yusof dalam perebutan jawatan itu pada pemilihan parti semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Idris Haron juga gagal mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu, yang menyandang jawatan berkenaan selama dua penggal, hanya memperoleh 151 undi apabila ditewaskan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian UMNO Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mendapat 353 undi.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Bentong yang disandang sejak 1987 selepas memperoleh 296 undi untuk menewaskan pencabarnya Kapten (B) Shamsuddin Moner yang mendapat 51 undi.
Beberapa pertandingan yang membabitkan pemimpin utama UMNO negeri turut menyaksikan ada di antara mereka yang berjaya mengekalkan jawatan masing-masing.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian Rembau selepas menewaskan pencabarnya Datuk Mohamad Rais Zainuddin, bekas Exco kerajaan negeri, pada pemilihan parti itu.
Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengekalkan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau selepas menang tanpa bertanding.
Empat Ketua Bahagian UMNO di Johor berjaya mengekalkan jawatan selepas menewaskan pencabar masing-masing iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru) dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat).
Pemilihan jawatan Ketua Bahagian Maran, Pahang menyaksikan kejutan apabila Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul menewaskan penyandangnya Anggota Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Muttalib, sekali gus menyaksikan Shahaniza menjadi Ketua Bahagian wanita yang pertama di negeri ini.
Sementara itu, Anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim kekal sebagai Ketua Bahagian Arau setelah menewaskan pencabarnya Mohd Khalid Ahmad yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kangar yang disandangnya sejak 2013 selepas menewaskan pancabarnya Azahar Ahmad.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Padang Besar yang disandangnya sejak 2008 apabila menang tipis 10 undi mengalahkan pencabarnya Khairul Akhbar Ahmad Zabidi.
Turut menarik perhatian ialah Ketua Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menjadi buruan polis, mengekalkan jawatannya meskipun tidak menghadiri mesyuarat tahunan parti.
Beliau memperoleh 347 undi menewaskan pencabarnya Datuk Masloro Abdullah, bekas Setiausaha bahagian itu, yang mendapat 240 undi.
Mahkamah Majistret sebelum ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal kerana gagal hadir sebutan kesnya yang didakwa memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, tahun lepas.
Bekas Anggota Parlimen Libaran Datuk Juslie Ajirol pula memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Libaran selepas pencabarnya Datuk Akhbar Khan Abdul Rahman menarik diri.
Jawatan itu sebelum ini disandang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang tidak mempertahankannya kerana kini menjalani rawatan di London.
Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang tanpa bertanding selepas pencabarnya bekas Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Bazlan Baharuuddin menarik diri semalam.
Bazlan dipercayai menarik diri bagi memberi laluan kepada Tengku Razaleigh terus memimpin bahagian tersebut.
Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak adalah antara 74 Ketua Bahagian yang diumum menang tanpa bertanding pada pemilihan UMNO Bahagian.
Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan anggota Parlimen Pekan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan tanpa dicabar.
Selain Najib, Presiden Umno yang baharu dipilih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Anggota Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menang tanpa bertanding jawatan masing-masing di Bahagian Bagan Datuk dan Sembrong.
Beberapa lagi 'heavy weight' pemimpin UMNO menang tanpa bertanding di bahagian masing-masing ialah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, Datuk Seri Azalina Othman Pengerang), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai), Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang).
Selain itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Jeli, Datuk Seri Ismail Sabri (Bera), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (Kota Belud), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (Lumut).
Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh juga menang tanpa bertanding di Bahagian Masjid Tanah.
-- BERNAMA
#Adnan Yaakob
#Ahmad Razif Abdul Rahman
#idris haron
#ketua bahagian
#Mohamad Hasan
#pemilihan
#Pemilihan UMNO
#UMNO