Ibrahim Ali 'nasihat' Najib supaya kurangkan lawatan ke luar negara
Astro Awani
Disember 14, 2014 16:59 MYT
Disember 14, 2014 16:59 MYT
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali 'menasihati' Perdana Menteri, Datuk Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya lebih menumpukan perhatian kepada pentadbirannya berbanding membuat lawatan ke luar negara.
“Kepada perdana menteri, saya mahu nasihatkan, sebelum kamu hilang jawatan dan kerajaan, tolong kurangkan sikit lawatan ke luar negara.
“Saya merayu desak, nak melawat boleh melawat, tetapi tumpu pada negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Persidangan Agung Tahunan Perkasa ke-5 di sini, hari ini.
Ibrahim berkata perdana menteri dari negara lain turut membuat lawatan keluar negara, namun tidak sekerap Najib.
Dalam ucapannya, Ibrahim mengulangi pendirian Perkasa yang menyambut baik keputusan Najib mengekalkan Akta Hasutan 1948 baru-baru ini.
Katanya, pembaharuan yang mahu disuntik ke dalam Akta Hasutan seperti yang ditegaskan perdana menteri perlu mengembalikan semangat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).