Ibarat 'kitab azimat', 'Amanat Haji Hadi' tak akan ditarik balik - Salahuddin

Harits Asyraf Hasnan
September 11, 2019 05:08 MYT
Salahuddin yakin Pas tidak akan menarik balik Amanat Haji Hadi yang sudah dianggap seperti kitab azimat mereka. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Datuk Salahuddin Ayub yakin Pas tidak akan menarik balik ‘Amanat Haji Hadi’ yang sudah dianggap seperti ‘kitab azimat’ mereka.
Bekas Naib Presiden Pas itu berkata, parti Islam itu tidak akan berbuat demikian menjelang pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman bersama UMNO pada Sabtu ini.
“Itu (Amanat Haji Hadi) kitab azimat Pas. Kini mereka nak bersama (UMNO). Apabila nak berpisah nanti, kitab azimat itu akan dibuka semula. Ini berdasarkan pengalaman saya dalam Pas.
“Seperti kerjasama dengan DAP pada 2008, segala hujah pada masa itu berkata, boleh jalin kerjasama. Tetapi pada 2015, Pas rasa perlu berpisah (keluar) daripada Pakatan Rakyat, jadi mereka keluarkan hujah (alasan baharu membenarkan tindakan keluar).
“Sebab itu saya katakan, sekarang (Pas) mesra dengan UMNO, tetapi tunggulah nanti bila nak berpisah. Sebab itu, kitab azimat (Amanat Haji Hadi) tidak akan ditarik balik,” kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu.
Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Buku Metodologi (iPP) di Dewan Arowana, Jabatan Perikanan, Wisma Tani di sini pada Rabu.
BACA: Estet Padi: MOA perhalusi model Felcra, MADA
Pada Selasa, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Pas menarik balik Amanat Haji Hadi sebelum memeterai kerjasama dengan UMNO.
Jelas Dr Mahathir, Pas sejak dahulu menuduh UMNO sebagai parti kafir melalui kenyataan di dalam Amanat Haji Hadi, menyebabkan kerjasama baharu di antara dua parti itu sukar dilaksanakan.
BACA: Jika bergabung dengan Umno, Pas juga seperti orang kafir - Tun Mahathir
Katanya, sekiranya Pas tidak menarik balik gelaran kafir terhadap UMNO, maka parti tersebut juga disifatkan kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan UMNO yang pernah dikatakan kafir dahulu.
Malah, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berpandangan, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu meminta maaf secara terbuka kepada UMNO sebelum membuat perjanjian baharu berkenaan.
#Abdul Hadi Awang #amanat haji hadi #DAP #kitab azimat #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Pakatan Rakyat #Parti Amanah Negara #PAS #Salahuddin Ayub #UMNO
;