Husni nafi Tambun berpecah, semua satu pasukan
Nazialita Geynna Maharan
April 24, 2018 19:31 MYT
April 24, 2018 19:31 MYT
Calon Parlimen Tambun Barisan Nasional (BN) Perak pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menafikan wujud perpecahan dalam kepimpinan UMNO Bahagian itu.
Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, tidak wujud perkara seperti elemen tidak puas hati di kalangan akar umbi kerana kesemua jentera parti akan berusaha bagi memenangi kerusi untuk memenangi majoriti di Parlimen.
Katanya, dua pemimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Datuk Aminuddin Hanafiah (Hulu Kinta) dan Mohamad Ziad Mohamed (Manjoi) yang turut menang pada PRU13 diyakini akan mendukung perjuangan parti ini tanpa keraguan.
“Kita tidak macam itu... Aminuddin dan Ziad…kita satu pasukan. Mereka datang (bertanding) pada waktu saya bertanding sebelum ini dan ketika itu saya telah membawa mereka bersama.
“Apabila telah diputuskan (pencalonan), saya rasa kita merupakan pemimpin yang matang, cukup matang. Ini termasuk pemimpin dan ahli UMNO secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui selepas pencalonan di Kediaman Menteri Besar Perak di sini, hari ini.
Jelasnya, jumlah keseluruhan ahli UMNO Tambun seramai 17,000 orang dan 16,000 pengundi adalah dari UMNO.
Ahmad Husni berkata, kesemua ahli UMNO akan bersikap setia kerana kemenangan parti adalah keutamaan mereka buat masa ini.