Husni Hanadzlah nafi GST dinaikkan jika BN menang PRK

Harits Asyraf Hasnan
Jun 13, 2016 17:51 MYT
AHMAD HUSNI: Tidak logik dan tidak masuk akal.
Kementerian Kewangan menafikan dakwaan pembangkang kononnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dinaikkan jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata dakwaan pembangkang yang menyatakan GST akan dinaikkan daripada enam ke lapan peratus adalah tidak logik dan tidak diterima akal.
"Jadi tidak logik dan tidak masuk akal tiba-tiba kerajaan nak naikkan GST daripada enam ke lapan peratus. Kalau tengok dari segi sejarah politik, apa yang pembangkang ada untuk dia uar-uarkan untuk orang sokong?
"Melainkan dia (pembangkang) bangkitkan supaya orang ramai benci kepada kerajaan. Jadi mereka reka pelbagai cerita," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Kelayakan dan inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Parlimen Kuala Kangsar di sini hari ini.
Tegasnya lagi, Kerajaan sentiasa menjaga kebajikan rakyat dalam berhadapan peningkatan kos sara hidup pada masa kini.
"Bila kita tengok sekarang, apa yang kerajaan buat adalah untuk menjaga kebajikan rakyat. Jadi kalau kita naik GST hingga dua peratus, jadi dia akan meningkat kepada kos barangan.
"Malah, kita sudah ada Jawatankuasa Menangani Kos Sara Hidup yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mana saya dan beberapa menteri masuk (dalam jawatankuasa tersebut). Jadi itu ke arah kita hendak membantu kebajikan rakyat supaya dia (rakyat) mudah berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi," katanya.
Pada Forum Selamatkan Malaysia bersama Deklarasi Rakyat, semalam, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman mendakwa Kerajaan akan menaikkan GST sekiranya BN menang di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Dakwaan Hamidah itu disokong calon Parti Amanah Negara (Amanah) di Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli yang menyifatkan Kerajaan telah mengaut keuntungan yang besar menerusi pelaksanaan GST.
#Ahmad Husni Hanadzlah #berita politik #GST #khabar angin #pembangkang #PRK Kuala Kangsar