Husni belum sedia jumpa mana-mana pihak

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 1, 2016 07:18 MYT
AHMAD HUSNI: "Saya nak rileks, saya hendak sebolehnya saya diberi ruang dalam melaksanakan tugas saya. - Gambar fail
Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata beliau belum bersedia menemui mana-mana individu yang ingin berjumpa dengan beliau untuk membincangkan hal-hal tertentu sementara beliau masih berehat buat masa ini.
Kataya, beliau tidak menafikan bahawa terdapat beberapa pihak dan individu yang ingin berjumpa dengan beliau namun beliau enggan berbuat demikian kerana masih cuba untuk menyesuaikan dirinya setelah meletak jawatan daripada pelbagai posisi di kementerian dan parti.
Ditanya mengenai perihal permintaan perjumpaan, Husni berkata beliau masih belum mendapat sebarang maklumat berikutan tiada sebarang cadangan untuk berjumpa dengan mereka yang ingin menemuinya.
"Saya nak rileks, saya hendak sebolehnya saya diberi ruang dalam melaksanakan tugas saya, kerana apabila kita menganalisis perkara sebenar, banyak lagi pembangunan boleh dilakukan ke satu tahap untuk membasmi dan mengurangkan kemiskinan di kalangan rakyat.
"Memang ada pemimpin dari Barisan Nasional, pembangkang atau pemimpin di tengah-tengah yang ingin berjumpa dengan saya, tetapi saya masih tidak tahu intipati mereka ingin berjumpa termasuklah sama ada di bidang politik dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Briged Utara Pasukan Latihan PGA di PGA, Ulu Kinta di sini pada Isnin.
Jelasnya, beliau masih lagi memegang tiga jawatan utama iaitu ahli badan perundangan Parlimen, Presiden Asian Forum of Parliamentarians on Population and Development (AFPPD) dan juga sebagai Ahli Parlimen Tambun sehingga tempoh jawatan tersebut berakhir pada tahun 2018 kelak.
Justeru, Husni menegaskan bahawa jawatan yang dipertanggungjawabkan kepada dirinya itu akan dijalankan dengan amanah dan sepenuh hati untuk membantu mereka yang masih lagi terhimpit dengan masalah ekonomi dan dibelenggu kemiskinan di negara ini.
Ahmad Husni bulan lalu telah meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua termasuk beberapa jawatan dalam UMNO dan BN Perak selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Portfolio beliau dalam Kabinet kini diambil alih oleh Datuk Johari Abdul Ghani.
#Ahli Parlimen Tambun #Ahmad Husni Hanadzlah #Barisan Nasional #BN #Menteri Kewangan Kedua