Husam Musa umum sertai Amanah

Astro Awani
Ogos 30, 2016 23:33 MYT
Husam (dua dari kiri) mengumumkan perkara tersebut pada majlis Makan Malam Ambang Merdeka di Cyberjaya pada Selasa malam. - Gambar fail
Teka-teki berhubung kedudukan Datuk Husam Musa dalam PAS terjawab apabila Bekas Naib Presiden parti itu mengumumkan penyertaannya dalam Parti Amanah Negara (Amanah) pada Selasa.
Menurutnya, beliau menyertai Amanah kerana percaya parti itu merupakan platform baginya meneruskan perjuangan asal PAS yang telah dikhianati
"Bagi saya Amanah adalah parti yang meneruskan perjuangan asal PAS yang telah dikhianati oleh orang PAS sendiri," katanya di majlis Makan Malam Ambang Merdeka di Cyberjaya di sini malam semalam.
Turut hadir di majlis itu adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu serta beberapa anggota pimpinan Amanah.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor dipecat keanggotaannya dalam PAS April lalu.
Ia susulan kelantangannya mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan parti itu mengadakan kerjasama dengan UMNO.
Amanah bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam Pakatan Harapan.
#Amanah #berita politik #Husam Musa #PAS #Politik Malaysia