Hudud: Nik Aziz nasihatkan Dyana Sofya
Astro Awani
Jun 13, 2014 11:53 MYT
Jun 13, 2014 11:53 MYT
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh bekas calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud berhubung isu hudud.
Utusan Malaysia melaporkan Nik Abdul Aziz membuat teguran tersebut ketika Dyana Sofya mengiringi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang melakukan kunjungan hormat ke atas beliau di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim pada Khamis.
"Saya tidak setuju kenyataan awak mengenai hudud," Nik Abdul Aziz dipetik sebagai berkata oleh Utusan Malaysia.
Dalam pertemuan tersebut, Nik Abdul Aziz dikatakan turut menasihatkan Dyana Sofya supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa depan.
Nasihat itu diberikan sebagai reaksi terhadap kenyataan Dyana Sofya yang dilaporkan berkata tidak akan menyokong pelaksanaan hudud ketika berkempen dalam PRK Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.
Bagaimanapun, butiran lanjut perbualan antara Nik Abdul Aziz dan Kit Siang serta Dyana Sofya tidak diketahui kerana petugas media diarahkan beredar dengan alasan pertemuan itu sepatutnya diadakan secara tertutup.
Sementara itu, Dyana menjelaskan, sebagai orang Islam beliau tidak menolak hukum Allah itu namun sebagai ahli parti, beliau perlu menyokong pendirian parti dalam isu ini.
“Seperti yang saya katakan saya tidak pernah menolak hudud. Sebagai orang Islam saya tidak boleh menolak hudud. Tetapi saya sama dengan parti DAP,” katanya.