Hubungan UMNO-Pas: Masih banyak yang perlu diperhalusi - Penganalisis
Astro Awani
Disember 23, 2015 17:49 MYT
Disember 23, 2015 17:49 MYT
Isu kerjasama antara UMNO dan Pas telah menimbulkan pelbagai reaksi.
Walau apapun yang sedang dalam perancangan antara kedua-dua parti tersebut, masih banyak perkara perlu diperhalusi dalam mencapai kesepakatan seterusnya membuahkan manfaat demi kepentingan lingkungan masyarakat yang lebih besar.
Sejak awal khabar pertemuan antara pemimpin tertinggi kedua-dua belah pihak, ada yang mengharapkan hubungan kerjasama itu dapat diperkukuhkan dengan penyatuan politik.
Sementara ada yang cukup menerima jika ia sekadar ‘persefahaman’ dalam pembahagian kuasa yang sewajarnya, tidak kurang pula ada yang mengkritik, mencemuh dan menakut-nakutkan antara satu sama lain semata-mata agar tali silaturahim itu terputus.
Paling nyata, perkembangan mengenainya sedang dinanti oleh banyak pihak yang kini memerhatikan sahaja dari jauh dan dalam diam, sambil meneka akan terjadi lebih banyak drama dalam ketidaktentuannya.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan yang menetapkan beberapa perkara yang boleh UMNO laksanakan terlebih dahulu sebelum bercakap tentang perpaduan.
Menurutnya, UMNO sebagai pemangkin pentadbiran dan pengurusan kerajaan, perlu melaksanakan beberapa langkah pertama untuk memperbaiki nama Islam dan negara antaranya mengenai penghapusan GST, dan pengurangan pembaziran serta salah guna dana kerajaan.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ahmad Martadha Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI bagi memberi pandangan tentang permintaan Tuan Ibrahim tersebut:
Menurut Dr Shamsul, Pas sendiri bukan berada di kedudukan yang kuat untuk meletakkan syarat dan semua permintaan itu tidak akan memberi impak bagi memperbaiki kebersamaan dengan UMNO.
Pengundi melihat pertalian etnik dan agama antara UMNO dan Pas sebagai pembuka jalan hubungan kerjasama, namun dalam usaha mencapai kesefahaman, Majlis Muafakat antara kedua-dua parti perlu dianjurkan.
Pendapat tersebut disampaikan oleh Felo Penyelidikan Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Dr Mansor Mohd Noor sewaktu dihubungi Astro AWANI.