Hubungan UMNO-Bersatu: Masih ada cahaya di hujung terowong - Tuan Ibrahim

Astro Awani
Mac 15, 2021 08:17 MYT
Tuan Ibrahim menjelaskan, Pas telah mengadakan mesyuarat dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) yang kebiasaannya diadakan dua kali seminggu. - Gambar fail BERNAMA
PASIR MAS: Masih ada harapan yang boleh diletakkan dalam hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (Bersatu).
Justeru, Pas yakin masih ada peluang untuk konflik di antara UMNO dan Bersatu diselesaikan secara baik.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketiga-tiga parti Pas, UMNO dan Bersatu perlu duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian.
"Kita melihat ketiga-tiga parti perlu duduk bersama, nampaknya ada jalan, cahaya di hujung terowong masih ada," katanya.
Menteri Alam Sekitar dan Air itu ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di kawasan kejadian tebing runtuh di Dataran Air Muleh, Kampung Pohon Celagi, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, Pas telah mengadakan mesyuarat dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) yang kebiasaannya diadakan dua kali seminggu.
Ianya sebagai mesyuarat kebiasaan di dalam MN yang turut menyentuh soal pengukuhan muafakat dan persiapan pilihan raya.
Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar bertindak keluar PKR bagi mengelakkan tindakan undang-undang berhubung kes rasuah, Tuan Ibrahim berkata, Pas tidak akan bertolak ansur terhadap kes rasuah.
"Bagaimanapun, jangan kata bila lompat parti, terus membuat dakwaan sebegitu kerana ahli Parti Amanah Negara (Amanah) dulu pun ramai yang lompat parti (keluar dari Pas)," katanya.
Sabtu lepas, Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta keluar parti itu kerana kecewa dengan situasi politik semasa negara.
Beliau juga membuat keputusan menjadi wakil Bebas yang menyokong blok kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen.
#Tuan Ibrahim Tuan Man #UMNO #Muhyiddin Yassin #PAS #Bersatu #hubungan UMNO-Bersatu #pilihan raya #PRU15 #Politik Malaysia