Hubungan Bersatu-UMNO: Ada keputusan, Setiausaha Agung akan umum - Muhyiddin
Fareez Azman
Mac 4, 2021 19:15 MYT
Mac 4, 2021 19:15 MYT
PUTRAJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan parti itu telah membuat keputusan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu yang berlangsung di sini pada petang Khamis berhubung masa depan kerjasama Bersatu dan UMNO.
Bagaimanapun jelas Muhyiddin, keputusan itu akan hanya diumumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam masa terdekat.
Terdahulu, Muhyiddin dilihat meninggalkan sebuah hotel di Putrajaya kira-kira jam 7.08 malam tadi.
Sebelum itu, beberapa pemimpin turut meninggalkan perkarangan hotel dipercayai selepas selesai mesyuarat yang bermula pada jam 5.00 petang tadi.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini mengesahkan parti itu tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MKT di Janda Baik, 19 Februari lepas, seperti yang dilaporkan beberapa media.
Semalam, Astro AWANI melaporkan UMNO telah menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung keputusan MT parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang PRU15.