Hubungan bersandarkan keselesaan sementara punca perpecahan PR - Reezal
Astro Awani
Julai 12, 2015 08:29 MYT
Julai 12, 2015 08:29 MYT
Asas penubuhan Pakatan Rakyat (PR) yang rapuh membawa kepada perpecahan sekaligus menunjukkan gabungan pakatan itu tidak kukuh untuk rakyat menyandarkan harapan.
Justeru Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau tidak terkejut dengan perpecahan Pakatan Rakyat.
Beliau menyifatkan perpecahan itu sebagai sesuatu yang sudah diduga sejak awal lagi kerana kerjasama antara tiga parti itu hanya bersandarkan prinsip keselesaan sementara.
"Saya melihat suasana yang berlaku dalam Pakatan Rakyat adalah terjemahan daripada awal kerana tidak berada pada kerangka yang kuat, hubungan perkahwinan dalam Pakatan Rakyat berdasarkan keselesaan sementara.
"Bila wujudnya pertembungan yang tidak dapat dileraikan, prinsip perjuangan masing-masing tidak lagi sependapat, maka akhirnya membawa kepada perpecahan yang tidak dapat dibendung.
"Berbeza dengan Barisan Nasional yang mempunyai 14 parti komponen yang berada pada persefahaman yang kuat dan jitu, bukan hanya di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak," kata Reezal.
Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata sepanjang kerjasama politik Pakatan Rakyat, DAP tetap bersikap angkuh.
Ia seterusnya mengundang persepsi DAP tidak menghormati rakannya dalam Pakatan Rakyat, dan membawa kepada perpecahan.
Beliau merujuk kepada tindakan DAP yang menarik balik keistimewaan yang dinikmati ahli PAS di dalam pentadbiran kerajaan negerinya.
Tindakan itu jelas dilihat satu sikap angkuh yang sekaligus membelakangkan semangat Pakatan Rakyat.
"PAS tidak diberi pengktirafan walaupun menang satu kerusi, malahan hari ini tidak berada dalam Pakatan Rakyat, malah ditarik kesemua keistimewaan.
"Ini menunjukkan keangkuhan, yang berada dalam Pakatan Rakyat yang ditonjolkan oleh DAP ini adalah perlambangan parti yg diwujudkan atas dasar yg tidak kukuh dan rapuh," hujah Reezal.
Reezal mengulas keputusan Majlis Syura Ulamak PAS pasca mesyuaratnya pada Jumaat yang membatalkan hubungan tahalul siyasi dengan DAP.
Keputusan dibuat kerana kesal dengan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP mengecam serta melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat.
Majlis Syura Ulamak juga menegaskan DAP campur tangan dalam soal aqidah, dasar dan matlamat PAS termasuk usaha pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Majlis berkenaan bagaimanapun mengekalkan hubungan kerjasama politik dengan PKR.