#HPU914: Berjayakah jika hanya UMNO, Pas?
Wan Syamsul Amly
September 19, 2019 10:49 MYT
September 19, 2019 10:49 MYT
HIMPUNAN Penyatuan Ummah pada Jumaat dan Sabtu lalu yang membawa kepada termeterainya Piagam Muafakat Nasional ternyata memberi kesan kepada landskap politik negara.
Ia melegakan satu pihak namun pada satu pihak lagi, termasuk para menteri dalam kerajaan hari ini, mula menunjukkan sikap gundah gulana.
Kebanjiran puluhan ribu ahli-ahli UMNO dan Pas dalam Dewan Merdeka selain mereka yang berkeliaran di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sudah cukup untuk menggambarkan kekuatan kedua-dua parti orang Melayu itu.
Itu belum mengambil kira angka tontonan di laman Facebook yang dianggarkan mencecah ratusan ribu penonton.
Antara yang paling menyentuh hati, linangan air mata ada dalam kalangan ahli UMNO dan Pas yang sebelum ini boleh diibaratkan sebagai musuh ketat dalam politik.
Ia sebagai tanda kegembiraan serta kesyukuran kerjasama di antara kedua-dua parti Melayu terbesar negara selain dendangan lagu Pas buat kali pertama dalam bangunan UMNO sendiri.
Kerjasama menyeluruh
Pun begitu, semua tahu termasuk bukan sahaja ahli UMNO mahupun Pas, walaupun UMNO masih ada Barisan Nasional (BN) yang dianggotai MCA dan MIC, kekuatan gabungan tersebut tidak akan mampu untuk menawan hati majoriti pengundi dari Pakatan Harapan (PH) jika hanya mengharapkan pengundi Melayu semata-mata.
Dalam erti kata lain, UMNO, Pas, MCA dan MIC perlu menyakinkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa kerjasama antara mereka bukan sekadar faktor bangsa dan agama, malah perlu lebih menyeluruh kepada keadilan buat semua tanpa ada satu kaum yang terpinggir atau berada dalam kelas kedua.
Mungkin atas sebab itu, UMNO dan Pas dilihat berlapang dada apabila melihat pimpinan MCA serta MIC hadir ke himpunan tersebut bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka masih mempunyai parti alternatif untuk pengundi berbangsa Cina dan India.
Akan tetapi, minda saya gagal untuk ditenteramkan apabila banyak persoalan yang berlegar-legar di fikiran, apakah semua ini cukup untuk meletakkan kembali gandingan BN membawa Pas ke Putrajaya.
Oleh itu, saya mula membuat catatan dengan menggariskan beberapa faktor yang difikirkan penting sebagai permulaan untuk menentukan kejayaan atau kegagalan Muafakat Nasional ini.
Bagi saya, Muafakat Nasional yang mengetengahkan dua parti utama, perlu menjawab mengenai siapa gerangan tokoh yang mahu ditonjolkan sebagai perdana menteri jika memenangi PRU15 nanti.
Umum juga sudah sedia maklum, PH akan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad berundur kelak.
Menamakan calon PM itu sangat penting kerana siapa dilantik menjadi PM akan menjadi pertimbangan paling utama dalam kalangan pengundi termasuk tua atau muda yang akan memilih parti mana yang mereka bakal pangkah seperti yang kita lihat dalam sejarah politik negara.
UMNO dan seterusnya BN perlu dengan segera melantik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Setiausaha Agung BN yang baharu selepas presiden parti-parti komponennya iaitu Datuk Seri Wee Ka Siong dari MCA dan Tan Sri SA Vigneswaran dari MIC sudah bersetuju mengenainya.
Tatkala ura-ura mengenai pelantikan itu dilihat begitu tular di kalangan banyak pihak terutama ahli-ahli politik mengenai kemahuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melantik Hishammuddin ke jawatan tersebut dan dipersetujui oleh MCA dan MIC, tentunya usaha baik ini perlu disegerakan bagi mengelak prasangka mahupun tanggapan salah di kalangan ahli-ahli akar umbi semua parti terbabit.
Pengalaman berdekad
Hishammuddin bukan sebarangan tokoh dalam politik negara, dengan pengalaman berdekad lamanya, malah taat setia tidak berbelah bahagi pada UMNO dan BN terbukti terutama selepas PRU14 dan pendekatan mesra dengan rakyat berbangsa Melayu, Cina dan India.
Atas sebab-sebab itu, Hishammuddin wajarlah diberikan amanah dan tanggungjawab lebih besar dengan menjadi tulang belakang BN.
Tambahan pula, hubungan yang erat antara Hishammuddin dengan ramai pimpinan parti lain, sama ada dalam BN atau luar gabungan itu terutama di Sabah dan Sarawak sudah pasti meningkatkan lagi peluang BN untuk kembali menawan Putrajaya pada PRU15 nanti.
Satu perkara lagi, UMNO yang kita semua ketahui sebelum ini hanya mengharapkan beberapa agensi kerajaan dalam membantunya mengadakan kempen penerangan kini perlu menggembleng keringat ahli-ahlinya dan Pas untuk menandingi kempen lawannya yang sudah terlalu maju ke hadapan.
UMNO perlu dengan seberapa cepat mungkin mula menggerakkan kekuatan jutaan ahli mereka dan Pas untuk bukan sahaja berkempen menerusi ceramah di serata negara, malah kedua-dua parti juga harus memikirkan cara untuk mendekati pengundi termasuk melalui platform telefon pintar terutama untuk golongan muda.
Kedua-duanya, UMNO dan Pas juga harus memikirkan semasak-masaknya hal ini jika matlamat kerjasama itu adalah untuk mengalahkan PH pada PRU15 nanti.
Satu perkara yang harus disedari, jika pilihan raya umum seterusnya tidak lagi kembali menjadi milik mereka, maka gelaplah masa depan kedua-duanya.
Saya ingin memberi peringatan, mungkin sentimen kebencian terhadap PH kerana gagal menunaikan manifesto serta keadaan ekonomi negara yang suram mampu memberikan kelebihan kepada BN dan Pas hari ini namun realitinya PRU15 bukan bakal diadakan esok.
Muafakat Nasional seharusnya berfikir lebih jauh melangkaui hari ini kerana hakikatnya dan jangan dinafikan, pasti banyak perkara mampu berubah dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang.
Wan Syamsul Amly ialah wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Amanah
#Anwar Ibrahim
#Barisan Nasional
#Hishammuddin Hussein
#Mahathir Mohamad
#MCA
#Melayu
#MIC
#Pakatan Harapan
#PAS
#politik
#PWTC
#telefon pintar
#UMNO
#Wee Ka Siong
#Zahid Hamidi