Hormati sensitiviti agama lain teras kerjasama MIC - Pas
Datuk M Periasamy
Januari 26, 2021 17:17 MYT
Januari 26, 2021 17:17 MYT
KEPUTUSAN mengejut kerajaan Kedah yang membatalkan cuti peristiwa Thaipusam pada tahun ini bukan sahaja mencetuskan renjatan emosi dalam kalangan komuniti India tetapi menjadi perbualan hangat rakyat.
Tindakan kerajaan negeri diterajui Pas di dalam Perikatan Nasional (PN) menimbulkan perasaan marah dan jelik terhadap ketidakprihatinan dan semberono kepada penganut Hindu.
Kerajaan negeri didakwa membuat keputusan tersebut dengan alasan wujudnya ketidakperluan cuti perayaan memandangkan kerajaan Persekutuan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Di Kedah, cuti peristiwa Thaipusam telah mula dilaksanakan sejak tahun 2014 oleh kerajaan negeri yang wujud sebelum PN.
Kerajaan negeri pada ketika itu meluluskan cuti umum berkenaan untuk memudahkan penganut Hindu di Kedah menyambut Thaipusam dengan berlapang dada.
Apatah lagi, beberapa negeri lain seperti Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga mengisytiharkan cuti umum Thaipusam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Meskipun seluruh negara kini berada dalam musibah pandemik COVID-19 dengan PKP secara berperingkat, negeri-negeri tersebut tidak pula membatalkan cuti umum tersebut.
Malahan mereka membenarkan penganut agama Hindu dalam jumlah tertentu untuk menyambut hari Thaipusam.
Antaranya, penyertaan dalam perarakan pedati dari Jalan Bandar ke Batu Caves secara sederhana dengan menepati prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Keputusan untuk mengekalkan cuti umum Thaipusam di negeri-negeri tersebut dan kelulusan MKN untuk perarakan pedati jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri dan agensi kerajaan tersebut memahami serta menghormati sentimen komuniti Hindu terhadap perayaan Thaipusam.
Fasa Merangkak
Pentadbiran kerajaan Kedah yang baru dalam fasa ‘merangkak’ perlu memahami asas kepada kelulusan cuti umum untuk Hari Thaipusam sebelum membuat keputusan drastik.
Hari Thaipusam bukanlah satu pesta kebudayaan atau hari bersuka ria seperti difahami sesetengah pihak.
Sebaliknya, Thaipusam adalah satu hari penting berkaitan agama Hindu.
Jatuh pada bulan yang bernama ‘Thai’ dalam kalendar Tamil, hari Thaipusam disambut oleh penganut Hindu dengan mengamalkan pelbagai upacara keagamaan.
Ini termasuk amalan berpuasa antara satu sehingga tiga hari serta makan sayur-sayuran sebelum membawa kavadi sebagai tanda menunaikan nazar di kuil Tuhan Muruga berhampiran.
Dalam hal ini, pengisytiharan cuti umum pada hari Thaipusam memudahkan penganut Hindu menjalankan ibadat berpuasa dan sembahyang di rumah masing-masing tanpa sebarang tekanan.
Malah, ia termasuk menjalankan ibadat di kuil yang terletak dalam lingkungan kawasan perumahan berhampiran dengan menepati SOP.
Rasa tidak puas hati komuniti India terhadap pentadbiran kerajaan negeri Kedah berikutan peristiwa perobohan sebuah kuil Hindu di Alor Setar sebelum ini masih tidak reda lagi.
Hampir semua pertubuhan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili komuniti India bersatu dan mengutuk tindakan kerajaan meroboh kuil berusia 50 tahun tersebut.
Sikap Menteri Besar Kedah yang mempertahankan tindakan perobohon kuil tersebut oleh pihak berkuasa kerajaan bahkan menyindir dan mengutuk pemimpin India yang membangkitkan isu tersebut seolah-olah ‘kaki mabuk todi’ amat mendukacitakan.
Presiden MIC, Tan Sri SA. Vigneswaran yang menyuarakan ketidakpuasan hati beliau terhadap perobohan kuil tersebut turut dikecam oleh Menteri Besar Kedah.
Isu pembatalan cuti peristiwa Thaipusam pula menyemarakkan semula kemarahan orang India.
Vigneswaran tidak berdiam diri malah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan negeri Kedah yang membatalkan cuti umum hari Thaipusam.
Beliau menyifatkan tindakan kerajaan negeri Kedah sebagai tidak adil malahan tidak menghormati sensitiviti agama kaum India.
Keadaan yang semakin ‘panas’ mencetuskan beberapa persoalan dan polemik dalam kalangan kaum India terhadap kerjasama politik antara MIC dan Pas.
Adakah MIC akan meneruskan kerjasama politiknya dengan Pas pada masa akan datang terutamanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?
Vigneswaran dilaporkan bersedia bekerjasama dengan Pas atas persefahaman dan persetujuan bahawa parti itu akan menghormati amalan agama lain dalam negara.
Hubungan MIC-Pas adalah atas dasar saling hormat menghormati terhadap agama, kepercayaan, adat serta tradisi kaum-kaum lain tanpa sebarang kompromi dalam perkara tersebut.
Kefahaman inilah yang menjadi asas dan mendorong kepimpinan MIC untuk tampil ke hadapan dan berkerjasama dengan Pas.
MIC tidak akan sekali-kali menggadai prinsipnya dalam membela kepentingan agama dan maruah orang India semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
Meskipun MIC sedar, bahawa kerjasama politik dengan Pas akan membantu mereka untuk memenangi beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi MIC sendiri.
Baru-baru ini, kenyataan Vigneswaran yang menyebut bahawa MIC lebih mengutamakan maruah orang India daripada kemenangan dalam pilihan raya jelas menggambarkan falsafah politik dan asas perjuangan beliau terhadap masa depan orang India.
Pendirian dan pendekatan yang ikhlas dalam membela kepentingan dan hak orang India ini menyebabkan kaum India mendekati MIC yang akan membantu parti itu untuk bangkit semula kelak.
Apapun, jelas kepimpinan MIC tidak menghadapi masalah dengan kepimpinan Pas nasional.
MIC hanya menghadapi masalah dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md.Nor yang juga pemimpin Pas peringkat negeri.
Pentadbiran beliau kurang memahami dan menghormati sensitiviti agama orang India, yang merupakan minoriti di Kedah.
Bagaimanapun, hubungan dan kerjasama politik MIC-Pas nasional tetap diharap diteruskan demi kepentingan kedua-dua parti menjelang PRU15.
* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.