Hormati keputusan Nurul Izzah - Zuraida

Bernama
Disember 17, 2018 23:11 MYT
Nurul Izzah berkata tidak lagi berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan atas sebarang kapasiti selain menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan mengenai kedudukannya dalam syarikat berkaitan kerajaan Pulau Pinang. - Gambar fail
Semua pihak perlu menghormati keputusan dibuat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar untuk melepaskan jawatan Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.
Katanya, beliau percaya keputusan Nurul Izzah itu telah difikirkan secara mendalam dari pelbagai aspek.
"Jika kita menghormati keputusan beliau untuk bertanding sebagai Naib Presiden PKR pada pemilihan parti yang lepas, kini keputusan beliau untuk melepaskan jawatan tersebut juga perlu dihormati seluruh kepimpinan dan anggota Keadilan.
"Sebarang tindakan lanjut berkenaan perkara ini haruslah berpandukan perencanaan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan mengulas tindakan Nurul Izzah meletak jawatan pada Isnin.
BACA: PKR Permatang Pauh terkejut, sedih Nurul Izzah letak jawatan
Seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika dihubungi mengakui terkejut dengan tindakan Nurul Izzah itu namun katanya, beliau menyokong apa jua keputusan yang dibuat rakan seperjuangannya.
Dalam pengumumannya, Nurul Izzah berkata kepimpinan parti telah dimaklumkan mengenainya.
Beliau turut berkata tidak lagi berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan atas sebarang kapasiti selain menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan mengenai kedudukannya dalam syarikat berkaitan kerajaan Pulau Pinang.
BACA: Jangan komen bagi pihak saya! - Nurul Izzah
#Anwar Ibrahim #berita politik #letak jawatan #naib presiden pkr #Nurul Izzah Anwar #PKR #PKR Pulau Pinang #Tian Chua #Zuraida Kamaruddin