'Hormati hak MCA tidak kempen kecuali calon dari BN' - Pemuda MCA

Sinar Harian
April 23, 2024 12:50 MYT
Poster dimuat naik Choo Seong memaparkan pendirian MCA tidak menghalang mana-mana parti yang mahu membantu DAP untuk berkempen dalam PRK KKB.
KUALA LUMPUR: Pemuda MCA tidak akan menghalang mana-mana parti yang mahu membantu DAP untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB), Mei ini.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, MCA masih kekal dengan pendirian tegas dan akan turun berkempen jika calon Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya tersebut.
"Kami tiada halangan sekiranya mana-mana parti mahu membantu DAP dalam berkempen kali ini. Sesiapa pun berhak untuk memikul bendera DAP dan mengusungnya ke mana-mana.
"Jika MCA hormati hak semua pihak, jadi hormati jugalah hak MCA untuk tidak berkempen, kecuali calon BN ditampilkan dalam PRK KKB kali ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Choo Seong, pihaknya tetap akan bersama BN walaupun dalam apa keadaan sekali pun bagi membukti semangat setia kawan walaupun sesetengah pemimpin UMNO menggelar MCA sebagai 'biawak hidup'.
"Adakah salah MCA mempertahankan semangat BN? Telah dinyatakan dengan jelas, MCA hanya tidak turun membantu sekiranya bukan calon BN.
"Ini juga membuktikan bahawa MCA komited dalam usaha mengembalikan kekuatan BN, khususnya di negeri Selangor. Jika bukan parti komponen sendiri yang berjuang mempertahankan BN, kita hendak mengharapkan kepada siapa lagi?
"Jatuh bangun kita tetap bersama dalam BN. Masa jadi pembangkang pun MCA dan MIC tak berganjak dan tidak tinggalkan BN," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai tindakan pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung, Anthony Loke secara terbuka dan tidak berselindung menghina serta menggores hati akar umbi MCA dengan pelbagai tuduhan.
Jelasnya, perbuatan angkuh Anthony mengatakan bahawa beliau tidak suka MCA dan melabel MCA sebagai parti tauke yang jelas merupakan fitnah berniat jahat memburuk-burukkan MCA.
"“Sebelum itu, seorang lagi pemimpin berpengaruh iaitu Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok juga secara terbuka dengan angkuh menghalau MCA keluar daripada BN.
“Tidakkah ini satu penghinaan kepada BN apabila beliau sewenang-wenangnya mengarahkan sedemikian?
"Sejak bila DAP berhak menentukan hala tuju BN? Ada juga yang kata calon DAP adalah calon BN. Sejak bila DAP jadi komponen BN?” ujar beliau. - Sinar Harian
#PRK Kuala Kubu Baharu #MCA #DAP #boikot
;