Hormat mereka yang ada kuasa, tetapi jangan gentar dengan mereka - Syed Hamid

Nursyazwani Saiful Sham
Mei 6, 2018 15:20 MYT
Bekas pemimpin politik berusia 74 tahun ini turut menyeru agar rakyat Malaysia mengundi dengan hati yang ikhlas demi perubahan yang positif pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini. -Gambar fail
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini membuat surat terbuka kepada rakyat Malaysia.
Dalam surat terbuka dua lampiran itu, Syed Hamid menyeru rakyat Malaysia supaya menjalankan tanggungjawab membuang undi dengan hati ikhlas untuk perubahan yang positif.
Beliau turut menegaskan agar rakyat Malaysia menghormati mereka (pemimpin) yang mempunyai kuasa namun tidak sepatutnya gentar terhadap mereka
“Undilah mengikut naluri dan suara hati, undilah dengan ikhlas. Gunakan kebijaksanaan dan pertimbangan yang rasional.
“Undilah untuk mereka yang berintegriti, yang dihormati, telus, amanah dan yang akan bekerja keras serta boleh dipercayai kerana kualiti-kualiti ini akan menjadi asas kepada kerajaan yang mereka wakili.
"inilah maksud demokrasi sebenar. Kebebasan untuk memilih sesiapa sahaja yang mampu untuk menggerakkan aspirasi menjadi realiti dan bukan setakat janji kosong melalui kempen dengan slogan-slogan dan manifesto,” katanya menerusi surat terbuka itu.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati rakyat Malaysia untuk memikirkan tentang masa depan dan memahami keputusan yang dilakukan pada hari pengundian bakal memberi kesan kepada negara lima tahun akan datang.
“Malaysia adalah negara yang masih muda dan sedang rancak membentuk dirinya sebagai sebuah negara demokratik.
“Perjalanan hingga ke hari ini penuh dengan liku namun saya percaya jika kita (rakyat Malaysia) bersatu berasaskan objektif bersama dan mempertahankan perjuangan kita demi keadilan dan kehormatan, ia mampu menumpaskan penipuan, pembohongan dan pemalsuan,” ujarnya.
#Ahli Majlis Tertinggi #Malaysia Memilih #pilihan raya #PRU14 #Syed Hamid Albar #UMNO
;