Honor perkenal pembantu maya dikuasakan AI 'YOYO'

Amanz
September 8, 2024 11:50 MYT
YOYO bakal hadir ke pasaran China terlebih dahulu dalam masa terdekat, dan pasaran antarabangsa akan menyusul selepas itu. -Gambar fail/Amanz
HONOR mengumumkan pengenalan pembantu maya dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang bakal disertakan bersama peranti mereka, dinamakan YOYO.
YOYO bakal hadir ke pasaran China terlebih dahulu dalam masa terdekat, dan pasaran antarabangsa akan menyusul selepas itu.
Untuk makluman, YOYO sedia ditawarkan sebelum ini, dan melalui kemas kini terbaharu, ia menyertakan integrasi kecerdasan buatan dalam memberikan respons lebih baik kepada pengguna, dan memahami konteks perbualan.
Langkah Honor ini adalah sama seperti Apple yang melakukan naik taraf Siri dengan integrasi kecerdasan buatan baru-baru ini.
Dengan langkah ini, pengguna boleh meminta pembantu maya melakukan sejumlah perkara melibatkan peranti mahupun aplikasi, dan ia akan melaksanakan arahan berkenaan.
Di samping itu, ia juga boleh mempelajari kaedah penggunaan seseorang pengguna, dan seterusnya memberikan lebih banyak cadangan, sekali gus memudahkan urusan harian.
Selain Honor, pihak Samsung sebelum ini turut menyatakan bakal memperkenalkan Bixby yang diintegrasikan bersama kecerdasan buatan tidak lama lagi. -Amanz
#Honor #Yoyo #Bixby #AI
;