Hishammuddin layak jadi Presiden UMNO - Nazri Aziz

Irwan Muhammad Zain
Mei 20, 2021 14:28 MYT
Mohamed Nazri menegaskan, Hishammuddin bukan hanya layak menjadi Presiden UMNO tetapi juga calon terbaik untuk diketengahkan sebagai Perdana Menteri berdasarkan pengalaman luas kepimpinan beliau dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
KUALA LUMPUR: Krisis kepimpinan yang sedang dihadapi UMNO hari ini boleh diatasi dengan memberi peluang kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengetuai parti, cadang Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurut Mohamed Nazri, UMNO perlu memberi peluang kepada Hishammuddin memimpin parti terbesar orang Melayu itu kerana pengalaman luas yang dimilikinya.
Beliau juga berpendapat, Hishammuddin bukan hanya layak menjadi Presiden UMNO tetapi juga calon terbaik untuk diketengahkan sebagai Perdana Menteri.
"Jangan pandang rendah pengalaman yang dimiliki Hishammuddin dalam parti dan juga dalam kerajaan. Beliau mengetuai banyak kementerian sebelum ini.
"Dalam parti juga beliau sangat berpengalaman dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda dan juga Naib Presiden UMNO," kata Mohamed Nazri kepada Astro AWANI.
Hishammuddin dari kaca mata Mohamed Nazri merupakan seorang pemimpin yang memiliki figura nasional yang layak menerajui negara.
Selain itu, beliau juga melihat Hishammuddin juga diterima di peringkat antarabangsa dan ia terbukti sejak dilantik sebagai Menteri Luar sebaik Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran negara.
"Kita bukan sahaja mahu mencari Presiden yang baharu dan boleh membawa perubahan kepada parti tetapi kita juga mahu Presiden yang dipilih adalah calon yang layak untuk dijadikan Perdana Menteri.
"Ada yang bertanya, UMNO ada calon Perdana Menteri atau tidak, jadi saya nak beritahu kepada mereka ini, Hishammuddin adalah orangnya yang layak menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
"Hishammuddin adalah seorang ahli politik yang ada national figure yang dihormati dan diterima masyarakat semua kaum.
"Saya juga melihat beliau diterima di peringkat antarabangsa, kalau kita lihat peranan yang dimainkan ketika ini, kita boleh lihat bagaimana pemimpin antarabangsa mengiktiraf beliau," katanya lagi.
Ditanya tentang pandangan sesetengah pihak tentang tindakan Hishammuddin tidak bertanding dalam Pemilihan UMNO sebelum ini, Mohamed Nazri menegaskan, apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Sembrong itu tepat bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.
Beliau menegaskan, sekiranya Hishammuddin memilih untuk mecabar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Pemilihan 2018, perpecahan dalam UMNO akan berlaku lebih teruk.
"Kita tidak boleh kata bila Hishammuddin tidak bertanding apa-apa jawatan masa pemilihan sebelum ini sebagai pengecut.
"Kenapa tidak kita melihat beliau membuat keputusan tidak bertanding kerana mahu mengelak daripada berlaku perpecahan yang lebih teruk dalam parti.
"Kritikan yang mengatakan Hishammuddin pengecut semua ini bukan gambaran karakter sebenar beliau. Saya akan memberi sokongan kepada Hishammuddin," kata Mohamed Nazri lagi.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #Hishammuddin Hussein #UMNO #presiden #Perdana Menteri #pengalaman
;