Hishammuddin keluar Umno? Ada lagi yang akan keluar - Bung Mokhtar

Astro Awani
September 19, 2018 05:43 MYT
Menurut Bung, mereka yang meninggalkan parti Melayu itu adalah mereka yang telah mendapat tempat yang baik di dalam Kerajaan suatu ketika dahulu. - Gambar fail
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan antara Ahli Parlimen dari UMNO yang akan meninggalkan parti itu.
Menurut sumber, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama hampir dua jam di Putrajaya semalam.
Astro AWANI masih mendapatkan pengesahan lanjut daripada Hishammuddin berkenaan perkara tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengesahkan akan ada beberapa lagi Ahli Parlimen dari Umno akan meninggalkan parti itu.
Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah serta nama Ahli Parlimen Umno tersebut.
"Memang akan ada lagi Ahli Parlimen yang akan keluar daripada Umno. Namun, enam Ahli Parlimen Umno di Sabah akan tetap kekal bersama UMNO," katanya.
Jelas beliau, tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman keluar dari Umno adalah atas kepentingan dirinya sendiri.
BACA: Mustapa Mohamed umum keluar UMNO
BACA: Selepas Tok Pa, Anifah Aman umum keluar UMNO
BACA: Tok Pa sedar UMNO sudah rosak - Dr Mahathir
BACA: Selepas Tok Pa saya pula tinggalkan Umno? Ini reaksi Nazri Aziz
Menurut beliau, mereka yang meninggalkan parti Melayu itu adalah mereka yang telah mendapat tempat yang baik di dalam Kerajaan suatu ketika dahulu.
Enam Ahli Parlimen UMNO di Sabah akan tetap kekal bersama UMNO
"Kalau kita lihat di Kelantan, Umno tidak pernah menang untuk menawan negeri itu pada pilihan raya. Tapi Mustapa tetap diberi kedudukan yang baik (sebagai Menteri Kabinet)," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Seri Mohd Hajiji Noor ketika diminta mengulas mengenai keputusan keluar parti Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau menghormati keputusan dibuat Anifah yang berkuatkuasa, hari ini.
Katanya, Umno Sabah akan meneruskan perjuangan untuk kepentingan rakyat dan menganggap bahawa keputusan Ahli Parlimen Kimanis itu sebagai satu ujian buat ahli-ahli Umno di Sabah.
"Umno Sabah menghormati keputusan beliau (Anifah) dan menganggap bahawa ini merupakan satu ujian buat parti ini. Saya juga ingin menyatakan bahawa Umno Sabah akan tetap meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah mengumumkan keluar Umno dan pengumuman ini dibuat kurang 24 jam selepas Datuk Seri Mustapa Mohamed membuat keputusan keluar parti pada Selasa lepas.
#Anifah Aman #Hishammuddin Hussein #kabinet #keluar UMNO #Kinabatangan #Mahathir Mohamad #Melayu #Mustapa Mohamed #Parlimen #pilihan raya #Putrajaya #UMNO