Hina Sultan: PKR Shah Alam lapor polis, gesa tindakan tegas terhadap Sanusi

Irfan Faruqi
Julai 13, 2023 14:11 MYT
Ketua Penerangan PKR Shah Alam, Suryamuizzudin Kamarudin membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam - Foto/ PKR Shah Alam
SHAH ALAM: PKR Shah Alam membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina dan memperlekehkan Sultan Selangor dalam satu ucapan semasa ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PKR Shah Alam, Suryamuizzudin Kamarudin berkata, pihaknya mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan yang disifatkan sebagai menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat itu.
"PKR Shah Alam menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap Muhammad Sanusi yang saban hari menjadikan pentas ceramah politik PN untuk menghambur penghinaan terhadap pimpinan negara.
BACA: Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi
"Ucapan itu menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat menerusi kenyataan-kenyataan beliau yang bersifat perkauman dan menunggang ajaran Islam.
"Ucapan Muhammad Sanusi ini secara terang bersifat menghina Sultan Selangor dan tidak dapat diterima oleh rakyat Selangor yang kasih dan menghormati institusi diraja di negeri ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Suryamuizzudin, pihaknya juga mendukung pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam menangani sebarang tindakan yang menyentuh sensitiviti berkaitan raja, bangsa dan agama (3R).
BACA: Itu sikap sebenar Sanusi - Amirudin
"Kami berharap pendirian tegas Kerajaan Perpaduan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan penguatkuasaan undang-undang yang tuntas dan bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir.
"Negara ini tidak boleh dibiarkan musnah dek kerana politik perpecahan yang cuba dianjurkan oleh pemimpin PN," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
#Muhammad Sanusi Md Nor #Sultan Selangor #PRN #PRN Selangor
;